Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Menteri wanita termuda M'sia korbankan kerjaya lumayan

Yeo Bee Yin ceburi politik dek tak mahu kesal tidak buat sesuatu bagi ubah keadaan
Aug 13, 2018 | 05:30 AM



CIK Yeo Bee Yin - seorang jurutera terlatih - pernah menyangka beliau akan rapat dengan politik hanya jika beliau berkahwin dengan seorang Ahli Parlimen (AP).



Namun sekarang, beliau seorang menteri utama dalam Kabinet Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.



Ia perjalanan agak mengelirukan Cik Yeo, yang pada usia 35 tahun, ialah menteri kedua termuda dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) dan menteri wanita termuda.



Apabila Tun Dr Mahathir menelefon, meminta beliau menjadi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Sekitaran dan Perubahan Iklim baru, Cik Yeo begitu terharu hingga tidak pasti apa sebenarnya yang dikatakan Tun Mahathir.



Terlatih sebagai jurutera kimia, AP kali pertama itu salah satu daripada bintang muda cerah dan berbakat dalam gabungan PH.



Beliau penerima biasiswa Yayasan Bill dan Melinda Gates bagi ijazah sarjana di Universiti Cambridge. Sebelum itu, beliau pemegang biasiswa syarikat minyak Malaysia Petronas, menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas dengan kepujian kelas pertama dalam kejuruteraan kimia, dan bekerja bagi syarikat perkhidmatan medan minyak terkemuka Schlumberger selama dua tahun.



Oleh itu, meninggalkan pekerjaan bergaji lumayan bagi menceburi politik Malaysia bukan satu pilihan ketara baginya.



"Saya tidak mahu mati menyesal kerana tidak melakukan apa-apa. Jika saya telah melakukan yang terbaik, dan jika ia masih belum dapat membaiki keadaan, saya sekurang- kurangnya tidak menyesal," kata nya dalam satu temu bual bersama akhbar The Straits Times.



Cik Yeo meninggalkan Malaysia pada 2006 dek kecewa dengan apa yang berlaku di negaranya dan tanpa rancangan akan pulang.



Beliau tidak mengundi pada Pilihan Raya 2008, walaupun mengaku beliau seorang patriot yang menangis setiap kali mendengar lagu kebangsaan Negaraku berkumandang.



"Tetapi pada 2008, tsunami politik berlaku dan saya menyedari mungkin saya tidak benci negara saya. Saya hanya tidak suka kerajaan atau sistemnya, yang saya ada kuasa untuk mengubahnya jika saya boleh menyumbang. Saya mahu cuba membuat perbezaan, jadi saya memutuskan untuk pulang pada 2010."



Tetapi pada masa itu, beliau tidak terfikir akan menyertai politik, kerana dibesarkan hanya di pekan kecil Batu Anam di Segamat, Johor.



"Di kampung, wanita tidak menjadi pemimpin, tidak banyak suri teladan," katanya.



Pada masa itu Cik Yeo berasa paling mungkin beliau menceburi politik ialah jika beliau berkahwin dengan seorang AP.



Namun menjelang 2012, beliau sudah menjadi sukarelawan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dikuasai kaum Cina dan berasa beliau boleh membuat perbezaan jika bertanding bagi jawatan politik.



Tetapi beliau tetap ragu-ragu akan kebolehan diri sendiri. "Secara semula jadi, saya bersifat sangat introvert (tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar) dan saya kurang baik dari segi bahasa.



"Tetapi saya sedar bahawa semua kelemahan itu adalah alasan yang kita sengaja fikirkan untuk tidak meletak diri kita dalam kedudukan bagi membuat perbezaan.



"Kadang-kadang kita melihat ini semua sebagai batasan kita tetapi batasan-batasan ini tidak seharusnya menjadi alasan bagi kita tidak mengejar apa yang kita fikirkan adalah betul."



Selepas melawan perasaan takut, Cik Yeo, yang ketika itu berusia 29 tahun, bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2013 dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor termuda. Beliau menang dengan majoriti 30,689 - tertinggi bagi kerusi negeri pada pilihan raya 2013.



Pada pilihan raya 9 Mei lalu, Cik Yeo memenangi kerusi Parlimen Bakri di Johor dengan majoriti 23,211, tertinggi bagi kawasan undi itu.



Cik Yeo berkata ada desas-desus bahawa beliau akan dijadikan menteri dua minggu sebelum panggilan telefon daripada Tun Mahathir itu.



"Saya fikir ia berita palsu hinggalah saya menerima panggilan daripada Tun M. Itulah saatnya saya menyedari desas-desus itu benar," katanya.



"Tun M perdana menteri saya sejak saya bayi hingga saya berada di universiti, jadi hati saya benar-benar berdegup-degup dengan cepat. Apa yang beliau kata, saya sebenarnya tidak dengar dengan jelas, dan saya bahkan tidak berani bertanya apa yang beliau kata."



Cik Yeo menambah bahawa beliau tidak pasti apakah Tun Mahathir menawarkannya jawatan menteri atau timbalan, dan kementerian apa.



"Satu-satunya perkara yang saya dengar ialah perubahan iklim."



Cik Yeo, yang belum berumah tangga, menteri kedua termuda dalam Kabinet Tun Mahathir, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berusia 25 tahun.



Beliau berasa terkejut dan berat pada masa sama dengan jawatan barunya itu.



"Ia satu tanggungjawab besar, kita hanya mempunyai satu peluang untuk mengubah keadaan. Jika kami tidak berjaya, orang tidak akan memberi kami peluang lagi," katanya.



Oleh itu, Cik Yeo pastikan beliau membuat persiapan bagi tugas itu.



Cik Yeo hampir tidak berumur panjang untuk menjadi menteri. Semasa kecil, beliau jatuh dan kepalanya terhantuk pada benda tajam di atas sebuah sofa kayu. Seluruh tengkoraknya menjadi lembut dan beliau dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama beberapa hari.



Apabila berusia lima tahun, beliau dilanggar kereta semasa bermain. Mujur pemandu itu seorang doktor dan menguruskannya dengan segera.



Cik Yeo juga mempunyai fobia terhadap sekolah ketika berumur tujuh tahun dan biasa berpura-pura sakit perut untuk ponteng kelas. Ayahnya memindahkannya ke sekolah lain dan gurunya membantu membina semula keyakinannya dalam pelajaran.



Sebagai seorang wanita muda Cina, Cik Yeo dilihat sebagai mewakili kaum minoriti Cina di Malaysia, tetapi beliau tidak berfikir demikian.



"Orang yang mengundi saya dan Pakatan Harapan adalah daripada latar belakang berbeza. Saya sentiasa berasa bahawa badan pembuat keputusan akan mendapat manfaat daripada pelbagai jenis orang. Kepelbagaian adalah sesuatu yang akan membawa perspektif yang lebih baik dalam membuat keputusan."



Mentelah, beliau bukan sekadar mahu menjadi menteri Kabinet, bahkan contoh kepada belia Malaysia.



"Itulah sebabnya saya juga merasakan beban di pundak saya. Ia bukan soal kehidupan kita, impian kita dan matlamat kita sahaja. Ia lebih mengenai pengaruh dan impak yang kita cetus dengan hanya menjadi diri sendiri dalam kedudukan ini.



"Saya ingin menjadi contoh baik bagi generasi akan datang."




"Saya tidak mahu mati menyesal kerana tidak melakukan apa-apa. Jika saya telah melakukan yang terbaik, dan jika ia masih belum dapat membaiki keadaan, saya sekurang-kurangnya tidak menyesal."
- Cik Yeo Bee Yin, mengenai alasan beliau menceburi politik.



"Dalam Kementerian saya, anda tidak perlu kenal saya. Anda hanya perlu tahu cara (melaksanakan projek). Mengenali saya tidak akan memberi anda sembarang kelebihan dalam sembarang projek. Pastikan anda tahu cara."
- Cik Yeo Bee Yin, menekankan beliau tidak akan pilih kasih berhubung projek kerajaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >