TIDAK ada warga Singapura yang dilaporkan cedera atau terjejas secara langsung oleh serangan berkembar di Tanta dan Iskandariah di Mesir, semalam.
Menurut jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya hari ini berkata:
"Pada masa ini tidak ada warga Singapura yang berdaftar secara elektronik di kedua-dua bandar itu.
"Sejauh ini tidak ada warga Singapura yang dilaporkan cedera atau terkesan secara langsung disebabkan kejadian itu.
"Demi memastikan keselamatan mereka, warga Singapura di Mesir dinasihatkan untuk memantau berita, menuruti nasihat pihak berkuasa tempatan dan berhubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan agar mereka tahu mereka selamat."
Dalam kenyataan itu juga, MFA menyatakan Singapura mengutuk serangan yang berlaku di Gereja Girgis di Tanta dan di St. Mark Cathedral di Iskandariah semasa perayaan keagamaan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 49 orang terkorban dari kedua-dua serangan itu.
"Mereka yang bertanggungjawab bagi tindakan kejam ini mesti di bawa ke muka pengadilan.
"Singapura berada bersama-sama Mesir dalam memerangi terorisme dan turut sama warganya pada masa bersedih ini.
"Kami juga menyampaikan rasa takziah yang mendalam kepada keluarga mangsadan mengharapkan mereka yang cedera untuk segera pulih."
Mereka yang memerlukan bantuan segera harus menghubungi Kedutaan Singapura di Kahirah atau talian 24 jam Pejabat MFA di:
1. Kedutaan Singapura di Kahirah
Tel: +20 2 3749 0468 / +20 2 3749 5045
Nombor telefon bimbit pegawai bertugas: +20 109 8064 130
Emel: singemb_cai@mfa.sg
2. Pejabat MFA (24 jam)
Tel: +65 6379 8800/+65 6379 8855