Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MH17: Data awal kotak hitam diketahui minggu depan

Aug 07, 2014 | 06:21 PM



KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini memaklumkan data awal daripada kotak hitam MH17 dapat diketahui pada minggu depan bagi membolehkan dalang kejadian malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu dibawa ke muka pengadilan.


Datuk Seri Liow berkata, siasatan awal di kawasan nahas masih berlangsung dan lebih banyak maklumat diperlukan sebelum laporan awal dikeluarkan.


"Siasatan MH17 masih diteruskan dan mesyuarat awal siasatan diadakan yang diketuai penyiasat Belanda dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.


"Semua data awal akan dapat disediakan pada minggu depan dan saya harap laporan awal dapat mendedahkan penyiasatan pada minggu itu juga," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.


Pesawat MAS MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.


Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.


Sejumlah 43 warga Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal pesawat itu.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut sama dalam sidang media itu berkata keperluan di tiga lokasi berasingan dalam menyambut kepulangan mangsa MH17 menjadi perhatian menteri dalam mesyuarat hari ini.


Katanya, tiga lokasi berkenaan adalah di lokasi nahas di Ukraine, penempatan jenazah mangsa di Amsterdam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


"Kami hari ini berbincang perkembangan dan persiapan di pusat operasi. Ada konsensus untuk memudahkan hala tuju kita.


"(Tumpuan) di lokasi nahas bagi membolehkan jasad mayat dibawa keluar, di Amsterdam untuk memastikan proses kenal pasti jenazah secepat mungkin dapat dilakukan supaya jenazah boleh dikembalikan kepada negara masing-masing.


"Di Malaysia, pihak tentera membentangkan kepada menteri persiapan menerima jenazah di Kuala Lumpur mengenai bagaimana penghormatan diberikan dan penglibatan seluruh rakyat," katanya.


Datuk Seri Hishammuddin berkata, cadangan cuti umum sempena hari ketibaan jenazah perlu mendapat kebenaran jemaah menteri selain kehendak keluarga juga akan diutamakan dalam proses pengurusan jenazah.


Katanya, Australia hari ini mengadakan hari berkabung peringkat kebangsaan tanpa kehadiran jenazah mangsa dan ia akan dikaji Malaysia bagi melihat kesesuaiannya.


"Kita beri keutamaan kepada keluarga mangsa kerana ini tempat kita sejak nahas tragedi MH370. Apabila Amsterdam kenal pasti mayat, pada masa itu kita akan putuskan sama ada penghantaran jenazah beramai-ramai atau berasingan.


"Hari ini di Australia ada satu hari penghormatan berkabung pada peringkat kebangsaan. Itu satu lagi pilihan yang dibuat tanpa jenazah MH17.


"Semua perkara ini sedang diambil kira. Kementerian Penerangan sedang memikirkan yang terbaik untuk memberi penghormata tertinggi dan bermaruah kepada mangsa dan keluarga," katanya.


Ketika ditanya media, adakah menjadi keperluan kepada Malaysia mengadakan sekatan kepada negara yang menjadi suspek dalang tembak jatuh MH17, Hishammuddin berkata apa yang penting buat masa ini adalah membawa pulang jenazah.


"Dengan kapasiti yang dimiliki Malaysia, adalah lebih baik kita memikirkan bagaimana mengembalikan jenazah dan siapa yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.


"Kita tidak pernah berganjak. Itu akan diteruskan. Jangan ada mana-mana pihak berasa usaha kita mencari pesalah tidak diberikan tumpuan," katanya. - The Malaysian Insider.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >