MOSCOW (Russia): Presiden Russia, Encik Vladimir Putin dalam perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama berkata, pesawat Malaysia dipercayai terhempas di wilayah Ukraine.
Dua pemimpin itu berhubung atas permintaan Moscow menyusuli nahas tersebut.
"Saya boleh mengesahkan bahawa Presiden Putin di penghujung perbualan telefonnya pagi ini dengan Presiden Obama maklum akan laporan awal tentang sebuah pesawat penumpang yang terhempas dekat sempadan Russia-Ukraine,"kata jurucakap Rumah Putih,
Encik Earnest memberi taklimat kepada media dalam pesawat Air Force One yang dinaiki Encik Obama dari Washington ke Delaware.
Encik Obama telah diberi taklimat oleh para penasihatnya tentang tragedi itu dan telah mengarahkan pegawai kanannya untuk berhubung rapat dengan pegawai Ukraine.
Panggilan telefon antara Encik Obama dan Encik Putin itu dibuat sehari selepas Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah mengenakan sekatan baru ke atas Russia atas pelanggarannya terhadap Ukraine.
Sekatan terbaru Amerika kali ini meliputi denda ke atas pengeluar minyak terbesar Russia, Rosneft dan syarikat tenaga lain, termasuk firma kewangan dan pertahanan.
Encik Obama ditukil sebagai menyatakan kepada Encik Putin "langkah-langkah tambahan sedia dilaksanakan jika Russia tidak mengubah kedudukannya", kata Encik Earnest.
Pesawat MH17 membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam di Belanda ke Kuala Lumpur tetapi ditembak kira-kira 11 malam tadi, waktu Singapura semasa berada di ruang udara Ukraine.
Ia ditembak semasa berada pada ketinggian 10,000 meter di ruang udara Ukraine dekat sempadan Russia.
MH17 dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.10 pagi ini. - Reuters, BHM.