KUALA LUMPUR: Malaysia akan buka semula sempadan kepada pelawat antarabangsa mulai 1 April, membenarkan pelawat sudah divaksin penuh Covid-19 masuk ke negara itu tanpa kuarantin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Pelawat perlu menjalani ujian prapelepasan (RT-PCR) dan ujian sejurus tiba (RTK-Antigen di bawah penyeliaan profesional) 24 jam selepas ketibaan mereka.
Kini, pelawat hanya dapat memasuki Malaysia melalui gelembung perjalanan Singapura dan Langkawi bagi yang sudah divaksin penuh.
Dalam ucapan di televisyen kebangsaan semalam, Datuk Seri Ismail berkata pembukaan semula sempadan adalah sebahagian langkah negara itu beralih ke fasa "endemik" dan hidup dengan virus.
Malaysia menutup sempadannya dua tahun lalu pada 18 Mac 2020 apabila pandemik koronavirus merebak secara mendadak serata dunia.
"Kerajaan memutuskan membuka semula sempadan negara pada 1 April," katanya.
"Saya percaya ini telah lama dinantikan orang ramai. Pengumuman ini akan juga merangsang ekonomi secara keseluruhan, terutamanya industri pelancongan yang terjejas teruk oleh pandemik," katanya.
Pelawat yang ingin memasuki Malaysia hanya perlu memuat turun aplikasi penjejakan MySejahtera dan mengisi borang prapelepasan perjalanan.
Pelawat antarabangsa tidak lagi perlu memohon bagi MyTravelPass, yang akan dimansuhkan.
Walaupun pelitup masih diwajibkan semasa fasa peralihan, Datuk Seri Ismail mengumumkan pelonggaran lanjut bagi peraturan Covid-19 mulai 1 April.
Individu yang belum divaksin akan dibenar merentasi negeri, dan tiada lagi had yang ditetapkan pada waktu operasi atau kapasiti premis.
Malaysia mengekalkan ekonominya terbuka walau dihimpit gelombang Omicron dengan jumlah kes harian mencecah rekod tertinggi dan kemasukan ke hospital pada paras tertinggi dalam tempoh lima bulan.
Malaysia melaporkan 26,856 kes harian baru kelmarin.
"Dalam beberapa minggu yang lalu, jumlah harian kes Covid-19 meningkat akibat gelombang Omicron. Namun, jumlah kes dalam kategori 3, 4 dan 5 sangat rendah, iaitu 0.7 peratus," kata Datuk Seri Ismail, merujuk kepada kategori serius Covid-19 yang termasuk kemasukan ke hospital.
Jumlah pesakit memerlukan rawatan intensif "berada di bawah kawalan buat masa kini, pada kapasiti 42 peratus," katanya.
Hampir 80 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia telah divaksin sepenuhnya, manakala 64 peratus menerima dos penggalak. Negara itu juga melonggarkan protokol Covid-19 secara bertahap.
Kontak rapat pesakit Covid-19 yang asimptomatik tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib, sementara Malaysia juga menggugurkan syarat bagi pelawat yang memasuki negara menjalani ujian dalam tempoh enam hari selepas ketibaan di bawah Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL).