Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

M'sia dicengkam ketidaktentuan jelang pelaksanaan vaksinasi

Pelbagai teori, dakwaan negatif termasuk tuduhan konspirasi tersebar
Feb 24, 2021 | 05:30 AM



SEMAKIN dekat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan di Malaysia, semakin rancak pihak yang menentang vaksinasi menyebarkan pelbagai teori dan dakwaan negatif mengenai keberkesanan vaksin itu.



Mereka yang menggunakan alam maya mempersoalkan status halal vaksin, menolak vaksin bukan saja terhadap Covid-19 malah apa jua bentuk pelalian selain percaya kepada teori konspirasi bahawa vaksin ini adalah agenda Yahudi yang ingin menguasai manusia khususnya umat Islam.



Tidak ketinggalan timbul juga teori Bill Gates, antara individu terkaya di dunia, iaitu manusia bertanggungjawab mencipta wabak Covid-19.



Gambar diubah suai dan artikel berita palsu dihasilkan oleh pereka teori konspirasi, dikongsi beribu-ribu kali melalui platform media sosial dan aplikasi mesej dalam pelbagai bahasa dengan menyasarkan Gates, telah menarik perhatian sejak permulaan wabak itu.



Bagi Profesor Madya (Perubatan), Dr Malina Osman dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), majoriti rakyat memahami kepentingan mengambil vaksin, namun ada segelintir individu yang memberikan pandangan berbeza daripada maklumat saintifik sehingga menyebabkan sebahagian daripada masyarakat keliru..



"Dalam apa jua bidang dalam kehidupan, kita perlu merujuk pada pakar bidang untuk memberikan maklumat yang betul.



Secara umum juga, punca atau asal sesuatu maklumat perlulah disahkan dulu dan ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang berpengetahuan serta melakukannya mengikut disiplin ilmu berkenaan.



"Oleh itu, wajar untuk setiap kita memahami bahawa sumber maklumat perlu diperolehi dari mereka yang arif serta tidak menyandarkan pada teori yang tidak terbukti atau sekadar menurut sangkaan sahaja," katanya kepada Berita Harian.



Selain itu, katanya, pihak yang bertanggungjawab pelaksanaan program imunisasi itu perlu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk ikon yang berpengaruh untuk meyakinkan rakyat, dan siapa yang dianggap sebagai ikon berpengaruh ini, terpulanglah kepada tafsiran dalam sesuatu budaya dan tanggapan masyarakat tersebut untuk memilihnya.



Ditanya mengenai wujud gerakan antivaksin di Malaysia boleh membantutkan program imunisasi, beliau berkata tindakan undang-undang lebih tegas perlu diambil terhadap golongan tersebut.



Katanya, sebagai contoh, doktor yang menyokong antivaksin perlu dilucutkan lesen amalan perubatan mereka, selain individu yang tidak mempunyai kelayakan yang diiktiraf perlu didenda dengan nilai maksimum sekiranya bercakap dalam isu yang bukan bidang mereka sehingga mencetuskan pula polemik kekeliruan menyebabkan berlakunya kesan negatif.



Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.



Bagaimanapun, masih ada orang Islam meragui ketetapan itu terutamanya mengenai status halal bahan yang digunakan untuk membangunkan vaksin tersebut selain mereka berasa was-was untuk menerima vaksin yang dihasilkan oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan orang Yahudi.



Selain itu, mereka juga tidak memahami proses sebelum sesuatu vaksin memperoleh kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) sehingga lebih mempercayai yang dibaca di laman maya daripada penjelasan pihak berwajib.



Dr Malina berkata masyarakat kini berdepan dengan ledakan maklumat yang terlalu banyak sehingga menyukarkan mereka untuk memilih yang mana satu relevan atau bersesuaian dengan keperluan mereka.



Katanya, NPRA sering memberi maklumat terkini melalui laman web serta media sosial mereka berkenaan isu-isu yang sering menjadi tanda tanya masyarakat.



"Oleh itu, saya berpendapat untuk mengekang terlalu banyak maklumat yang dikongsikan, Kementerian Kesihatan boleh menyeragamkan sumber penting untuk dimaklumkan kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih tersusun serta diberikan penarafan mengikut keperluan semasa.



"Ini boleh dilakukan dengan membuat sesi dalam talian secara berterusan melalui media massa utama di samping makluman yang disampaikan dari masa ke masa melalui media. Sama seperti produk kepada sesuatu perniagaan yang mempunyai 'duta' mereka untuk bercakap tentang isu tersebut, NPRA juga perlu mempunyai ikon yang dihormati untuk sentiasa berkomunikasi dengan masyarakat, " katanya.



Begitu juga ada pihak menggunakan kajian dan laporan tertentu untuk menakutkan orang ramai mengenai kesan sampingan selepas mengambil vaksin.



Contohnya, berdasarkan laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, terdapat kesan sampingan selepas suntikan vaksin Covid-19, antaranya, kesan pada lengan yang suntik (contoh, kesakitan pada tempat yang disuntik; mengalami bengkak dan kulit menjadi kemerahan), selain kesan pada seluruh badan (contoh, tubuh berasa sejuk; letih dan sakit kepala).



Dr Malina berkata krisis keyakinan yang dihadapi oleh individu sama ada mahu menerima vaksin atau tidak, adalah berdasarkan pengetahuan dan niat di dalam hati.



Katanya, konteks persepsi terhadap risiko ini sebenarnya berubah-ubah mengikut keadaan dan juga dipengaruhi oleh faktor tertentu.



"Saya kongsikan contoh seperti risiko menaiki kapal terbang yang berkemungkinan terhempas dan menyebabkan kematian. Meskipun terdapat peristiwa kemalangan yang berlaku serta risiko yang didokumenkan, apa yang menyebabkan majoriti masyarakat menerima kapal terbang adalah pengangkutan yang selamat?



"Ini boleh dikaitkan dengan persepsi menaiki kapal terbang berasosiasi dengan makan angin, cuti-cuti serta pergi ke tempat yang disukai; namun situasi berbeza dengan vaksin. Ia tiada manfaat lain selain melindungi seseorang daripada dijangkiti jangkitan, yang mana manfaatnya tidak kelihatan serta tiada yang berkaitan dengan sumber materialistik yang lain, " katanya.



Beliau mencadangkan mereka yang sudah menerima rawatan dalam Unit Jagaan Rapi (ICU) serta pernah menjalani rawatan yang berkaitan tampil berkongsi pengalaman bagi menyatakan betapa peritnya penderitaan jika melalui saat-saat diuji dengan keterukan penyakit, berada di ambang kematian serta kedukaan apabila berhadapan dengan kematian individu tersayang.



Kini timbul persoalan adakah rakyat Malaysia akan menyambut seruan pemerintah supaya mereka mengambil vaksin bagi membantu mengekang wabak Covid-19, kerana mereka tidak dipaksa mengambilnya malah tiada peraturan atau undang-undang yang boleh menghukum mereka yang enggan mengambil vaksin.



Bagi Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood, tidak mustahil Malaysia boleh mencapai sifar kes harian positif Covid-19 melalui pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini.



Ini berdasarkan kepada sekiranya bilangan rakyat yang mendapat vaksinasi mencecah 80 peratus, Malaysia akan berjaya mencapai Imuniti Kelompok yang disasarkan.



Imuniti Kelompok atau 'Herd Immunity' adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar dalam kalangan suatu kelompok masyarakat kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut.



Cara terbaik mencapai Imuniti Kelompok adalah melalui vaksinasi.




KUMPULAN SASARAN 3 FASA PEMBERIAN VAKSIN DAN ANGGARAN INDIVIDU YANG AKAN DIVAKSINASI DI M'SIA



FASA 1 (FEBRUARI - APRIL 2021)



Kumpulan utama 1



500,000 orang.



Petugas barisan hadapan yang merangkumi petugas kesihatan kerajaan dan swasta.



Kumpulan utama 2



Petugas barisan hadapan yang merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan.



FASA 2 (APRIL - OGOS 2021)



Kumpulan utama 1



9.4 juta orang.



Baki kakitangan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan



Kumpulan utama 2



Warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesity, diabetes, dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU)



FASA 3 (MEI 2021 - FEBRUARI 2022)



Kumpulan utama



13.7 juta orang/lebih.



Penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara)



Keutamaan diberikan kepada zon merah, zon kuning dan kemudahan zon hijau



Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >