Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia meterai janji beli 6.4j dos vaksin Covid-19 AstraZeneca

Dalam proses rundingan akhir tambah bekalan dari China dan Russia
Dec 23, 2020 | 5:30 AM
LINDUNGI PENDUDUK: Malaysia dijangka mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk sekitar 80 peratus penduduknya. - Foto AFP
LINDUNGI PENDUDUK: Malaysia dijangka mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk sekitar 80 peratus penduduknya. - Foto AFP -

KUALA LUMPUR: Malaysia telah memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19 dan kini dalam proses rundingan akhir dengan pembekal dari China dan Russia bagi mendapatkan bekalan tambahan vaksin, kata Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai bulan lalu bersama fasiliti Covax dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti Covax dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara itu.

"Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah penduduk negara atau 26.5 juta," kata Tan Sri Muhyiddin menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan Malaysia sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Beliau menambah secara keseluruhan, kerajaan akan membelanjakan sebanyak AS$504.4 juta ($672.7 juta).

"Jumlah 80 peratus ini melebihi sasaran awal kita iaitu untuk memberi vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia," tambahnya.

Tan Sri Muhyiddin menegaskan, perjanjian dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat dan pembangunan negara.

"Ini termasuk melakukan proses pembotolan vaksin di dalam negara, penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.

"Kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi. Vaksin diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan," ujarnya.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang sudah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Khairy Jamaluddin, akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh dengan segera.

"Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar, seawal Februari 2021.

"Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin setelah diperoleh dan digunakan," katanya.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin juga berkata beliau akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Suntikan tersebut juga bakal diberikan kepada petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.

"Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran seawal Februari 2021," katanya.

Menurutnya, NPRA KKM akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.

"Sekali lagi saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun selepas kita menerima bekalan dan suntikan vaksin.

"Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam masyarakat," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg