Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

M'sia mohon projek HSR ditangguh sementara reviu dijalankan

Aug 15, 2018 | 02:00 PM



 





BEBERAPA bulan selepas kerajaan baru di Malaysia berkata ia sedang menimbang semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur, menteri bertanggungjawab ke atas projek itu mengadakan mesyuarat rasmi dengan rakan sejawatan di Singapura pada Sabtu (11 Ogos) lalu.



Menteri Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu akhbar The Straits Times (ST) pada Selasa (14 Ogos) bahawa mesyuarat dengan Menteri Pengangkutan Singapura Encik Khaw Boon Wan, yang juga Menteri Penyelaras Prasarana, adalah ‘rasmi… baik dan produktif.’



“Saya memberi penerangan tentang pendirian Malaysia berkenaan projek ini. Menteri (Penyelaras) Prasarana perlu membawanya kepada Kabinet Singapura,” kata Datuk Seri Azmin.



Jurucakap bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura mengesahkan mesyuarat itu telah berlangsung.



“Kededua menteri berbincang tentang projek HSR dan bersetuju meneruskan perbincangan dalam minggu-minggu akan datang,” katanya.



Menurut ST, adalah difahami, permintaan Malaysia untuk menangguh projek membina landasan kereta api 350 kilometer itu, disampaikan di mesyuarat itu.



“Pendirian kami adalah supaya projek rel ditangguh sementara reviu dilaksanakan,” kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) Malaysia.



Kerajaan Tun Mahathir Mohamad, sebelum ini, telah meluahkan hasrat membatalkan projek HSR atas keprihatinan tentang kos, selepas berkata ia mewarisi hutang lebih RM1 trilion (S$336 bilion) daripada  kerajaan Barisan Nasional.



 Namun, kenyataan susulan dari kerajaan itu berkata Malaysia perlu berunding dengan Singapura sebelum bertindak, kerana ada denda tertentu jika ia membatalkan perjanjian yang ditandatangani pada Disember 2016.



Terkini, Malaysia berkata ia berhasrat menangguh projek yang dianggarkannya bernilai RM110 bilion dan sebelum ini, dijadual lengkap pada 2026.



Namun, ia belum lagi mengirimkan permintaan ini secara rasmi kepada Singapura.



Encik Khaw, bulan lalu, berkata Singapura telah membelanjakan lebih $250 juta bagi projek ini, dan ia menjangka membelanjakan lagi $40 juta sehingga akhir tahun.



Singapura telah mengirimkan surat diplomatik kepada Malaysia pada 1 Jun, memohon diberi penerangan lanjut dan supaya mesyuarat diadakan sebelum 31 Julai.



Encik Azmin, yang diberi tugas mewakili Malaysia dalam rundingan,berkata beliau akan cuma memenuhi permintaan itu, tetapi berkata beliau sibuk dengan tanggungjawab lain di sidang Parlimen.



Dalam surat yang dikirimkan kepada Pemerintah Singapura pada 23 Julai, Encik Azmin berkata kerajaan Malaysia sedang meneliti butiran projek HSR dan akan memulakan perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi.



 Singapura telah mengalu-alukan cadangan Malaysia untuk memulakan perbincangan berkenaan projek yang dijangka mengurangkan waktu perjalanan antara Singapura dengan Kuala Lumpur kepada 90 minit.



Pada 6 Ogos, Datuk Azmin berkata beliau telah bertemu ‘pegawai kanan’ di Singapura pada hujung minggu sebelumnya, semasa beliau mengunjungi Menteri Ehwal Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin, yang menjalani rawatan di hospital di Singapura.



Menurut Datuk Azmin, ‘mesyuarat rasmi akan diadakan pada Ogos’.



Namun, MOT berkata pada 7 Ogos, bahawa tiada mesyuarat diadakan atau dijadualkan antara Encik Azmin dengan pegawai dari Singapura yang mentadbirkan HSR.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >