Subuh
5:35
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:07
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

FOKUS BERITA - MALAYSIA

M'sia pergiat program vaksinasi

Sambutan dari rakyat M'sia kian meningkat dengan vaksin dianggap kunci kehidupan seperti sediakala walau dalam norma baru Covid-19
Jun 16, 2021 | 05:30 AM

PELAJAR kedoktoran, Cik Mega Suria Hashim, ingin mendapatkan vaksinasi Covid-19 secepat mungkin.

Beliau telahpun mendaftarkan diri pada 26 Mei dan akan mendapatkan suntikan vaksin dos pertama vaksin Astrazaneca pada 8 Julai di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.

Cik Mega, mahasiswa tahun akhir Program Kedoktoran (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, adalah antara ramai rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan vaksin.

Keghairahan beliau dan keluarganya - ada yang sudah dan ada yang menanti giliran - mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang kian bersedia mendapatkan suntikan.

Malah, menurut Cik Mega, beliau cuba seawal mungkin tetapi sukar mengakses pendaftaran untuk suntikan secara online tetapi terdapat gangguan teknikal, "mungkin kerana faktor trafik yang tinggi". Beliau akhirnya berjaya selepas beberapa kali mencuba.

Pendaftaran itu, jelas Cik Mega, adalah bagi slot secara sukarela (pusingan kedua) untuk golongan berumur bawah 60 tahun di bawah Badan Bertindak Iminusasi Covid-19.

Beliau akur pendaftaran mendapatkan suntikan pada awalnya agak rendah, mungkin kerana terdapat berita-berita palsu tentang keburukan atau kesan sampingan selepas pengambilan vaksin, ekoran maklumat tidak terkawal dalam media sosial dan perdebatan yang tidak tepat mengenai vaksin.

"Tetapi kini sambutan daripada rakyat Malaysia yang mendaftar sudah meningkat kerana sudah ada kesedaran yang diusahakan pihak kerajaan, pertubuhan bukan pemerintah (NGO), aktivis, ahli ulama dan juga individu," kata beliau.

Cik Mega berkata suntikan vaksin akan membolehkan sistem kekebalan dalam tubuh sebagai tindak balas melawan virus, membentuk imuniti daripada jangkitan, "supaya selepas ini kita dapat menjalani kehidupan seperti sediakala walaupun di dalam norma baru".

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia dilaporkan sudah turun sedikit sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kelmarin, ia mencatatkan sejumlah 4,949 jangkitan - di bawah paras 5,000 yang menjadi trend sejak kebelakangan ini.

Jumlah jangkitan sehingga kelmarin ialah 662,457 kes.

Malaysia juga dilaporkan sedang berusaha meningkatkan suntikan vaksin.

Negara itu berharap usaha pemvaksinannya mencapai 80 peratus penduduknya menjelang Februari tahun depan.

Menurut beberapa laporan media, pemberian suntikan vaksin di seluruh negara terus meningkat dan kian menghampiri sasaran 200,000 dos sehari.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), kadar suntikan vaksin atau inokulasi yang direkodkan kelmarin ialah sebanyak 197,963 dos - tertinggi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dilaksanakan pada 23 Februari lalu.

Ia merangkumi pemberian 142,890 dos pertama dan selebihnya, iaitu 55,073, ialah dos kedua.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin ke seluruh negara sehingga kelmarin ialah sebanyak 4,688,233 dos - 3,275,194 dos pertama dan 1,413,039 dos kedua.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilaporkan merekodkan kadar tertinggi pemberian suntikan vaksin iaitu sebanyak 700,566 dos, diikuti Selangor (667,743), Sarawak (515,596), Johor (444,971), Perak (376,177) dan Sabah (366,453).

Laporan harian JKJAV turut menunjukkan seramai 13,811,642 atau 59 peratus daripada keseluruhan individu berusia 18 tahun ke atas di Malaysia sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Malaysia juga dijangka memulakan program imunisasi fasa keempat hari ini dengan menyasarkan pekerja perindustrian, menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Encik Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kerajaan akan memvaksinasi pekerja industri mulai hari ini sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan jangkitan di tempat kerja yang merupakan bilangan terbesar kelompok baru.

"Jika kita melihat data Covid-19 harian pada Ahad, 11 daripada 15 kelompok adalah wabak di tempat kerja, melibatkan hampir 200 kes aktif," kata beliau dalam sidang akhbar kelmarin.

"Inilah sebabnya kami membuat keputusan bagi fasa keempat, atau fasa mengawal pandemik, dimulakan secepat mungkin bagi mengurangkan jumlah kelompok di tempat kerja dan menghentikan penularan jangkitan di kalangan pekerja," ujarnya.

Menurutnya, pusat vaksin akan dibuka bagi sektor pengilangan, binaan, perladangan, runcit dan pelayanan.

Sebanyak 30,000 dos akan dikhaskan untuk menyuntik pekerja kilang bulan ini.

Langkah memberi suntikan kepada pekerja dalam sektor ekonomi utama itu, sebelum program vaksinasi untuk warga emas dan barisan depan selesai, bagaimanapun mendapat kritikan beberapa ahli politik pembangkang.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3