SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

M'sia perintah waktu operasi lebih singkat bagi pusat beli-belah, restoran dan kedai

M'sia perintah waktu operasi lebih singkat bagi pusat beli-belah, restoran dan kedai

Langkah lebih ketat mulai Selasa ini; waktu niaga dibenar dari 8 pagi hingga 8 malam saja
May 23, 2021 | 5:30 AM

M'sia perintah waktu operasi lebih singkat bagi pusat beli-belah, restoran dan kedai

bed07dc5-773f-4319-9d02-715666bb295d
-

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam memerintahkan pusat beli-belah, restoran dan kedai supaya beroperasi pada waktu lebih singkat mulai Selasa ini, sedang kerajaan mengambil beberapa langkah dalam usahanya mengekang kenaikan besar kes jangkitan dan kematian berkaitan Covid-19.

Kerajaan juga mahu sebanyak 80 peratus kakitangan awam dan 40 peratus pekerja sektor swasta bekerja dari rumah sebagai usaha mengurangkan pergerakan rakyat.

Dalam sidang media semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perniagaan akan dibenarkan bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Beliau juga menyatakan bahawa sistem pengangkutan awam akan dihadkan kepada 50 peratus sahaja, kapasiti seperti dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dulu.

"Operasi perniagaan antaranya penjualan makanan pandu lalu, kedai runcit, kedai serbaneka yang sebelum ini dibenarkan hingga 10 malam kita pendekkan kepada 8 malam," katanya di sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengenai aturan dari rumah, Datuk Ismail Sabri berkata langkah itu secara keseluruhannya akan membabitkan lebih tujuh juta pekerja bagi kedua-dua sektor awam dan swasta.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memperketat PKP yang sedang berkuat kuasa, dengan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

"Kemunculan varian Covid-19 baru yang agresif telah menyumbang kepada peningkatan kes.

"Oleh itu, langkah lebih ketat perlu dilaksanakan untuk membendungnya," kata Datuk Ismail Sabri.

"Oleh kerana perniagaan ditutup pada 8 malam, tidak ada keperluan untuk keluar. Kerajaan boleh melaksanakan semua jenis sekatan tetapi akhirnya, disiplin diri kita untuk kuarantin diri sendiri amatlah penting."

Sementara itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini melepasi angka setengah juta, dengan 6,320 jangkitan baru dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan meliputi tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini mencecah 505,115 jangkitan.

Beliau berkata, jumlah kes aktif meningkat kepada 53,682, manakala 652 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) dengan 370 memerlukan bantuan pernafasan.

Setakat 12 tengah hari semalam, sebanyak 50 kematian baru akibat Covid-19 dilapor membabitkan 48 rakyat Malaysia dan dua warga asing. - BHM, ST.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg