KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan kaedah heterologi atau campuran dua vaksin sebagai sebahagian pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan memang mengkaji untuk memberikan dua jenis vaksin, berikutan banyak negara sudah berbuat demikian.
Katanya, kaedah itu adalah bagi meningkatkan antibodi peneutralan serta keberkesanan sesuatu vaksin.
"Perkara ini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV). Kita mempunyai beberapa data 'real-world' yang diterima dari Jerman mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer bagi dos kedua.
"Ini sememangnya sudah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian, selain ia juga sesuai apabila kita menghadapi kekurangan bekalan vaksin, jadi mencampurkan dua jenis vaksin itu akan lebih baik," katanya pada sesi webinar yang dihoskan oleh Oxford dan Cambridge Society of Malaysia semalam (16 Jun).
Namun, beliau menekankan kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk membuat keputusan sebelum selesai mendapatkan banyak data. - BH Online