SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

M'sia prihatin jumlah kematian Covid-19 meningkat, kes libatkan kanak-kanak

M'sia prihatin jumlah kematian Covid-19 meningkat, kes libatkan kanak-kanak

Jun 5, 2021 | 5:30 AM

M'sia prihatin jumlah kematian Covid-19 meningkat, kes libatkan kanak-kanak

99151588-6e4c-4ed5-b2f0-baff0c32302a
-

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa kesihatan Malaysia telah menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah kematian koronavirus dan kes-kes serius yang melibatkan kanak-kanak, setelah lonjakan jangkitan secara keseluruhan memaksa negara Asia Tenggara itu dikurung ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan "penutupan penuh" selama dua minggu dari 1-14 Jun sedang kes dan kematian akibat Covid-19 mencatatkan kenaikan rekod hari demi hari. Pemerintah memberi amaran wabak itu mungkin dikaitkan dengan varian yang lebih menular.

Malaysia mencatatkan kematian tiga kanak-kanak berusia di bawah lima tahun akibat koronavirus dalam lima bulan pertama tahun ini, jumlah yang sama dicatatkan sepanjang tahun lalu, menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebanyak 27 kanak-kanak, termasuk 19 di bawah usia lima tahun, juga terpaksa dirawat dalam unit jagaan intensif antara Januari dan Mei setelah dijangkiti virus, meningkat daripada lapan kes tahun lalu.

"Kementerian kesihatan berharap semua pihak, terutama ibu bapa dan penjaga, memainkan peranan penting dalam melindungi mereka yang mempunyai imuniti rendah, seperti bayi dan anak-anak, dari Covid-19, " kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Beliau tidak mengatakan berapa banyak kanak-kanak yang telah diuji untuk Covid-19 atau jika pihak berkuasa merancang untuk meningkatkan ujian di kalangan kanak-kanak bawah umur.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sejumlah 82,341 kanak-kanak telah dijangkiti dengan koronavirus antara Januari tahun lalu dan 30 Mei tahun ini.

Datuk Seri Dr Adham pada Khamis lalu berkata bahawa "bukan sesuatu yang mustahil" untuk jumlah kematian Covid-19 mencecah 26,000 pada bulan September, seperti yang dianggarkan oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan.

Sementara itu, sebanyak 7,748 kes positif baru Covid-19, direkodkan setakat tengah hari semalam.

Peningkatan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini mencecah 603,122 kes setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan sebanyak 2,612 hari ini, menjadikan jumlah kes di negeri itu setakat ini sebanyak 197,459.

Katanya, Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 851 kes baru, disusuli Sarawak (706) dan Johor (446).

Sehingga semalam jumlah kes jangkitan Malaysia telah mencapai lebih dari 603,122 dengan 3,096 kematian - jumlah ketiga tertinggi di wilayah di belakang Indonesia dan Filipina.

Ia mencatat kenaikan harian sebanyak 9,020 kes Sabtu lalu, dan jumlah kematian harian tertinggi adalah 126 pada Rabu lalu. - BHM, Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg