Topic followed successfully
Go to BHkuM'sia rancang buka lagi 300 pusat vaksinasi
M'sia rancang buka lagi 300 pusat vaksinasi
M'sia rancang buka lagi 300 pusat vaksinasi
PETALING JAYA: Lebih 300 pusat pemberian vaksin (PPV) baru akan dibuka tidak lama lagi bagi memudahkan dan mempercepatkan warga Malaysia untuk menjalani suntikan Covid-19, menurut Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini setelah negara itu masih bergelumang dengan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi yang mencapai 7,452 kes baru semalam. Jumlah itu berkurangan dari 7,748 kes dicatatkan kelmarin.
Tan Sri Muhyddin menambah sebuah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV) akan menimbangkan pendaftaran automatik bagi membolehkan orang ramai mengambil suntikan itu.
Jawatankuasa itu akan juga membaiki proses pendaftaran vaksinasi dan memberikan komitmen bagi meningkatkan program itu secara tetap.
"Saya ambil maklum, keresahan orang ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin masing-masing. Oleh itu, saya sudah mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang mendaftar melalui semua wadah, mendapat tarikh janji temu secepat mungkin,'' katanya, dalam ucapannya bagi menandakan hari ke-100 program suntikan itu semalam.
Sehingga semalam, hampir 13 juta individu sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Ini hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.
Beliau berkata ketika ini, lebih 280 pusat vaksin sedang beroperasi di seluruh negara.
"Beberapa Pusat Pemberian Vaksin sudah diwujudkan dan jumlah ini akan terus ditambah dalam masa terdekat terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin,'' katanya.
Beliau berkata semua aset kerajaan telah diarahkan untuk membantu dalam program vaksin itu dan menggalak semua warga Malaysia untuk mendaftar secara sukarela bagi membantu dalam usaha itu.
Beliau menambah bahawa kerajaan menumpukan perhatiannya bagi memudahkan warga Malaysia untuk divaksinasi.
"Menjelang dua bulan mendatang, kami akan menerima 16 juta dos vaksin Covid-19. Dengan kenaikan bekalan ini, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian melebihi 150,000 bulan ini dan jumlahnya akan terus meningkat,'' kata beliau.
Tan Sri Muhyddin juga menasihati mereka yang sudah menerima vaksinasi agar terus menggunakan pelitup muka dan tidak mengambil ringan langkah mencegah Covid-19.
Malaysia mencatatkan 7,452 kes Covid-19 batu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 610,574, menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Selangor kekal sebagai negeri yang mempunyai kes jangkitan tertinggi sebanyak 2,509, diikuti dengan Negri Sembilan (843) dan Kuala Lumpur (678). - The Star, BHM

