Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

M'sia tabal Agong ke-16 hari ini

Jul 30, 2019 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara hari ini apabila berlangsungnya istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.



Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara bagi tempoh lima tahun akan datang.



Menjelang upacara penting itu, pelbagai persiapan diatur teliti bagi memastikan istiadat yang bakal menyingkap kebesaran Raja-Raja Melayu itu berlangsung sempurna.



Rata-rata rakyat di seluruh negara ternanti-nantikan hari bersejarah itu, yang akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menaiki takhta negara, lapor Bernama.



Tinjauan agensi berita nasional itu di sekitar ibu negara semalam mendapati sekitar laluan menuju ke pintu-pintu masuk Istana Negara sudah dihiasi dengan poster dan kain rentang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bagi menguar-uarkan kepada rakyat mengenai istiadat itu.



Antara kawasan berkenaan ialah Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan dan Jalan Sri Hartamas.



Suri rumah, Cik Junaidah Kamal, 50 tahun, ketika ditemui Bernama berkata beliau sekeluarga akan memastikan tidak terlepas menyaksikan acara bersejarah itu, malah sudah membuat peringatan pada sistem pentafsir kod (decoder) televisyen di rumahnya.



"Sejujurnya, saya amat teruja untuk menyaksikan istiadat itu. Saya akan memastikan anak bangun awal pada Selasa ini supaya mereka dapat menonton acara bersejarah dan penting negara.



"Peristiwa penting ini bagus untuk mereka mempelajari sejarah dan keunikan Malaysia yang mengamalkan Raja Berperlembagaan," katanya.



Sempena istiadat itu, kerajaan mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat di seluruh negara mengikuti acara berkenaan.



Upacara itu akan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran televisyen setempat bermula 9 pagi.



Istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah mencatat sejarah tersendiri apabila pasangan diraja itu masing-masing merupakan anakanda Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (1979-1984) dari Pahang, dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan (1984-1989) dari Johor.



Turut penting dalam istiadat itu ialah peranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bertanggungjawab mengisytiharkan kedua-dua Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Ketua Utama Negara ketika itu.



Al-Sultan Abdullah yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta bagi menggantikan Sultan Muhammad V dari Kelantan yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 6 Januari lalu.



Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Januari lalu.



Seri Paduka melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >