Topic followed successfully
Go to BHkuM'sia tambah beberapa kumpulan bagi fasa kedua imunisasi Covid-19
M'sia tambah beberapa kumpulan bagi fasa kedua imunisasi Covid-19
M'sia tambah beberapa kumpulan bagi fasa kedua imunisasi Covid-19
SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk membolehkan beberapa kumpulan penerima tambahan dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa kedua yang bakal bermula April ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Khairy Jamaluddin berkata, perancangan sedemikian dibuat selepas kadar pendaftaran vaksin di seluruh negara ketika ini masih rendah.
Sehubungan itu, katanya, senarai penerima tambahan, termasuk petugas barisan hadapan ekonomi akan dimasukkan dalam fasa kedua.
"Memandangkan pendaftaran untuk golongan sasar masih tidak sepenuhnya, justeru kita buat keputusan untuk mendahulukan kategori (penerima) lain.
"Tetapi saya nak tegaskan bahawa warga emas, golongan berisiko tinggi, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik masih golongan yang diberikan keutamaan dalam fasa kedua.
"Isnin nanti saya akan umum beberapa kumpulan yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV sebagai penerima tambahan dalam fasa kedua," katanya selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Selangor, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, orang ramai perlu mengukuhkan langkah pencegahan selepas kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) kembali meningkat sejak kebelakangan ini.
Memberi peringatan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setiap segmen masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk bersama membendung penularan jangkitan Covid-19.
Katanya, matlamat memutuskan rantaian penularan wabak hanya mampu dicapai sekiranya orang ramai terus berpegang kepada dua prinsip utama.
"Kita perlu mempunyai tanggungjawab sosial dan kadar kepatuhan yang tinggi untuk melandaikan semula lengkung penularan jangkitan," katanya menerusi Twitter, @DGHisham, semalam.
Berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM), penularan pandemik Covid-19 mampu mencatat penyusutan sehingga ke paras 500 kes menjelang Mei sekiranya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kesan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Bagaimanapun, angka berkenaan tidak kekal lama apabila kembali melonjak kepada 0.87 keesokannya, malah meningkat kepada 1.0 setakat semalam.
Kali terakhir Rt mencecah 1.0 dan ke atas ialah pada 4 Februari lalu, iaitu 1.09.
Kawalan kesihatan awam menerusi pelaksanaan PKP sebelum ini melakar kejayaan apabila 11 daerah di lima negeri di Semenanjung kembali ke zon hijau, antaranya Hulu Perak dan Kampar di Perak.
Turut mencatat perkembangan sama ialah Raub dan Cameron Highlands di Pahang; Hulu Terengganu, Dungun (Terengganu); Gua Musang (Kelantan), Kubang Pasu, Padang Terap, Langkawi serta Yan (Kedah).
Kes harian Covid-19 yang terendah sejak pelaksanaan PKP di enam negeri ialah 1,063 kes pada 16 Mac lalu dengan Putrajaya dan Perlis ketika itu mencatatkan sifar kes. - BHM.

