KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon pembekuan akaunnya dibatalkan, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata SPRM perlu membatalkan pembekuan itu serta-merta jika tidak menemui sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa semasa menyemak akaun parti itu.
Awal sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya telah membekukan akaun bank Bersatu sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan berdasarkan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Beliau dilaporkan berkata akaun terbabit dibeku untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tidak pernah mengarahkan agensi tersebut membekukan akaun Bersatu.
Pada satu sidang media, Datuk Anwar berkata agensi itu bertindak bebas dalam tindakan membekukan akaun Bersatu mengikut akta-akta berkaitan.
Katanya, SPRM bebas menyemak akaun mana-mana parti.
"Jadi, kalau itu maknanya kalau SPRM dapat laporan dan siasat, saya tidak ada masalah… dan akaun-akaun itu diaudit dihantar kepada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) mengikut jadual ditetapkan".
Beku akaun: Bersatu perlu dana biayai kempen pilihan raya negeri
Dalam satu sidang media selepas menghadiri program pemukiman Ahli Parlimen (AP) Perikatan Nasional (PN) semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata:
"Pembatalan pembekuan akaun Bersatu penting walaupun dinyatakan akaun dibekukan untuk tempoh tiga bulan.
"Sebagai parti politik yang penting, jika tiada wang bagaimana kami dapat meneruskan kerja politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti."
Beliau berkata pihaknya juga memerlukan dana itu bagi membiayai kempen pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
"Jangan pembekuan ini jadi motif sebenar kerajaan melumpuhkan jentera Bersatu dan PN di PRN akan datang.
"Ini juga menjejaskan kelancaran Perikatan Nasional bagi menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi kerana Bersatu adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu.
"Kalau langkah begini diambil, ia dapat menghalang usaha kita untuk terlibat dalam aktiviti PRN," katanya sambil memaklumkan Bersatu akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM melengkapkan siasatan.
Pada Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan Malaysia pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan
SPRM dalam satu kenyataan ketika itu berkata tumpuan siasatan terarah kepada RM92.5 bilion ($28.4 bilion) membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.
Tan Sri Muhyiddin sebelum ini menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM92.5 bilion itu semasa pentadbirannya.
Pada awalnya pembekuan akaun Bersatu yang terkini itu dikaitkan dengan siasatan terhadap dana rangsangan tersebut.
Namun sumber SPRM mendakwa pembekuan itu adalah untuk menyiasat dakwaan bahawa Bersatu menerima sumbangan lebih RM300 juta daripada kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.
Sumber itu mendakwa jumlah sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta.
Dakwa sumber berkenaan, baki dalam dua akaun bank Bersatu ketika ini adalah sekitar RM40 juta.
Pada awal Januari lalu pula, SPRM menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta sebagai suspek dalam siasatannya.
CEO itu disyaki menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.
Individu terbabit kemudian didapati seorang ketua bahagian Bersatu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kemudian segera menjarakkan pemimpin tertinggi parti itu Tan Sri Muhyiddin daripada sebarang kesalahan atau penyelewengan.
Sementara itu, mengulas lanjut kes tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulangi penegasan Kerajaan Perpaduan untuk kekal bebas dalam mana-mana siasatan yang dijalankan oleh agensi penguat kuasa dan badan kehakiman negara.
"Adalah tak bertanggungjawab bagi tokoh-tokoh parti politik pembangkang yang dalam proses siasatan (SPRM) membuat tohmahan campur tangan dari pihak kerajaan perpaduan," katanya.
Beliau berkata kerajaan hari ini tidak akan mengulangi sikap kerajaan terdahulu yang menekan badan-badan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan sedemikian.
"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (semalam) mengulangi penegasan untuk kekal bebas dalam siasatan yang dijalankan badan penguat kuasa dan kehakiman negara.
"Yang berlaku ada dua hal.Ada laporan yang dibuat pada pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM tentang penggunaan wang oleh parti Bersatu.
"Kedua, saya jalankan tugas saya di Kementerian Kewangan dan melihat projek-projek dalam perbelanjaan terlalu tinggi tanpa proses tender.
"Projek seperti Jana Wibawa, iaitu projek tebatan banjir ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), sekiranya didapati kos terlalu tinggi, maka saya dedahkan maklumat dari Kementerian Kewangan.
"Apa yang SPRM lakukan tidak tertakluk pada pandangan saya, mereka melakukan siasatan rapi terhadap akaun parti yang didapati mencecah lebih RM300 juta, jadi harus pimpinan parti jelaskan sekiranya mereka benar bersih seperti mana yang diceritakan," jelas beliau.
Tambah Datuk Anwar, parti itu perlu menjelaskan apa yang dikatakan pengumpulan wang begitu banyak dalam masa singkat, termasuk sumber kewangan diperoleh. - FMT, Malaysiakini, BH.