Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mungkin 'pihak ketiga' sebabkan MH370 terhempas

Aug 05, 2018 | 05:30 AM



Pada 8 Mac 2014, Kapten Zaharie Ahmad Shah menghubungi pengawal trafik udara dan mengucapkan "Selamat malam, Malaysia.", sedang pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) yang dipandunya meninggalkan ruang udara negara itu. Tidak lama kemudian, pesawat Boeing 777 itu hilang - hingga sekarang. Isnin lalu, sebuah jawatankuasa siasatan keselamatan mengeluarkan laporannya mengenai kejadian MH370, sebuah misteri kehilangan pesawat antara yang paling pelik.



PUTRAJAYA: Pasukan yang menyiasat aspek keselamatan MH370 tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi mereka tidak menolak kemungkinan berlaku "campur tangan" oleh pihak ketiga yang menyebabkan kejadian itu.



"Kita boleh membuat kesimpulan bahawa MH370 berpatah balik dan patah balik ini bukan disebabkan oleh perkara luar kebiasaan pada sistem mekanikal.



"Tindakan patah balik tidak dibuat di bawah autopilot tetapi di bawah kawalan manual," kata Ketua Penyiasat Datuk Kok Soo Chon.



Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 30 Julai bagi membentangkan laporan yang disiapkan oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia mengenai kehilangan pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) itu.



Mengenai perubahan haluan pesawat MH370 tersebut, laporan setebal 449 muka surat itu berkata: "Perkara ini lebih kemungkinan disebabkan oleh sistem dimanipulasi" dan "pasukan ini tidak menolak kemungkinan berlaku campur tangan yang menyalahi undang-undang oleh pihak ketiga".



Sejumlah 239 orang menaiki penerbangan MH370 di Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014, termasuk 12 anak kapal. Penerbangan itu seharusnya menuju ke Beijing. Majoriti penumpangnya dari China, manakala 38 rakyat Malaysia, tujuh warga Indonesia, enam dari Australia dan beberapa yang lain dari negara lain, termasuk Perancis dan Amerika Syarikat.



Penerbangan itu meninggalkan Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, tetapi berhenti berkomunikasi dengan kawalan darat sebelum menyimpang daripada laluannya dua jam selepas berlepas, menurut data daripada radar tentera.



Penyiasat mengesan laluan MH370 menggunakan data satelit dan percaya bahawa pesawat itu menuju selatan ke arah Lautan Hindi kira-kira enam jam sebelum terhumban ke dalam air.



Kehilangan MH370 antara misteri kehilangan penerbangan paling besar dalam sejarah.



Laporan itu menolak keprihatinan mengenai kemungkinan juruterbang memainkan peranan dalam kehilangan pesawat tersebut.



Datuk Kok berkata pasukan itu menganalisa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pegawai pertama Fariq Abdul Hamid berhubung banyak aspek dan mendapati tiada sembarang perkara luar biasa.



"Kami menganalisis juruterbang dan pegawai pertama berhubung pelbagai aspek, termasuk tingkah laku, psikologi, sosial dan juga sejarah perubatan mereka.



"Ada dua ahli psikiatri dalam pasukan ini dan mereka juga melihat rakaman mengenai juruterbang dan pegawai pertama sebelum penerbangan. Mereka membuat kesimpulan tiada tanda tingkah laku sosial, perubahan tabiat atau minat, pengabaian diri, penyalahgunaan dadah atau arak pada diri juruterbang yang mengawal pesawat dan pegawai penerbangan," kata laporan itu.



Datuk Kok memberitahu media pemeriksaan latar belakang juga dilakukan terhadap anak kapal dan penumpang MH370 dan semuanya disahkan "dalam keadaan baik".



Bagaimanapun, bukti seperti pesawat itu berpatah balik secara manual dan bukan di bawah autopilot, tiada kerosakan, dan alat transpondernya dimatikan, lantas menghalang pesawat itu dijejak, membayangkan "secara kuat" berlaku "campur tangan yang menyalahi undang-undang", katanya.



"Berdasarkan semua itu, kami tidak berani menolak (berlaku) campur tangan yang menyalahi undang- undang," kata Datuk Kok.



Muatan MH370 termasuk 221 kilogram) bateri litium dan 4.6 tan buah manggis segar. Selepas ujian meluas, laporan itu menolak asap atau kebakaran yang disebabkan oleh percampuran barang-barang tersebut dalam ruang kargo pesawat sebagai penyebab tragedi itu.



Datuk Kok berkata pesawat Boeing 777 itu dilengkapi empat pemancar pencari kecemasan (ELT) dan pasukan carian tidak dapat mengesan sembarang isyarat dari ELT itu.



"ELT tidak berfungsi jika ia tenggelam dalam air, jika kabelnya putus atau antenanya rosak," kata beliau.



Namun beliau berkata hakikat ELT MH370 tidak berfungsi bukan perkara luar biasa. Dalam 170 insiden udara yang dicatat oleh ICAO sepanjang 30 tahun lalu, hanya terdapat 39 kes di mana isyarat dari ELT dapat dikesan, menurutnya.



Mengenai lampu pendaratan bawah laut pesawat itu, Datuk Kok berkata walaupun tempoh bateri peralatan itu tamat pada 2012, ia masih boleh berfungsi selama beberapa hari.



Tentang laporan yang disiapkan pasukannya itu, beliau menegaskan mereka hanya bertanggungjawab dalam menjalankan siasatan keselamatan manakala siasatan kehakiman serta pencarian pesawat itu dijalankan oleh pihak berkuasa lain.



"Ini bukan laporan muktamad. Kami memandai-mandai jika kami mengatakan bangkai pesawat telah ditemui, sedangkan mangsa tidak ditemui. Harus ada penutup (bagi kejadian ini)," katanya.



Mengenai kelewatan menyiarkan laporan itu, Datuk Kok menjelaskan bahawa ia tidak boleh disiarkan sebelum ini kerana pencarian pesawat itu masih dijalankan ketika itu.



"Selepas pencarian tiga pihak berakhir, Ocean Infinity pula melakukan pencarian. Apabila ini berhenti pada Mei, ia memberikan kami dua bulan untuk menyiapkan laporan dan inilah ia hari ini," katanya.



Setakat ini, hanya tiga serpihan yang dihanyutkan ke pantai Lautan Hindi disahkan dari pesawat MH370 itu.



Pasukan itu turut mengadakan taklimat bagi waris terdekat mangsa rakyat Malaysia di Malaysia dan rakyat China di Beijing.



Saudara-mara mangsa marah selepas mendapati tiada sembarang perkara baru dalam laporan itu.



Cik Intan Maizura Othman, yang kehilangan suaminya, seorang pramugara dalam penerbangan itu, berkata: "Saya kecewa. Tiada sembarang perkara baru dalam laporan itu." - The Straits Times, The Star, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >