Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Myanmar masih penuh gelora setahun setelah rampasan kuasa

Jan 15, 2022 | 05:30 AM



SETAHUN lalu, junta tentera Myanmar secara tiba-tiba merampas kuasa, sekali gus menggulingkan pemerintah awam yang dipilih rakyat negara itu.



Pada awal pagi 1 Februari 2021, tindakan itu bermula dengan presiden Myanmar, Encik U Win Myint, dan Kaunselor Negara, Cik Aung San Suu Kyi, serta beberapa pemimpin utama lain negara itu ditahan tentera.



Pihak junta mengisytiharkan "keadaan darurat" buat tempoh setahun, dan mendakwa rampasan kuasa itu perlu dilakukan kerana berlaku penipuan besar oleh parti politik pimpinan Cik Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), dalam pilihan raya awam sebelum itu.



Pemimpin rampasan kuasa itu, Jeneral Aung Min Hlaing, kemudian berjanji akan mengadakan pilihan raya baru, namun enam bulan kemudian mengumumkan dirinya sebagai perdana menteri dan pilihan raya akan diadakan pada 2023 pula.



Selepas setahun, bagaimana keadaan di Myanmar? Apakah ia semakin mantap, maju dan makmur?



Agak jelas keadaan di negara itu tidak bertambah baik. Keadaan ekonomi, sosial dan politiknya memburuk dari minggu ke minggu, bulan ke bulan.



Bahkan, risiko perang saudara meningkat setelah berlaku lebih banyak pertempuran antara tentera Myanmar dan pemberontak, yang merangkumi kumpulan etnik yang kemudiannya disertai Pasukan Pertahanan Rakyat - terdiri daripada rakyat awam yang mengangkat senjata.



Malah, krisis pelarian juga semakin runcing dengan lebih ramai rakyat Myanmar melarikan diri ke negara jiran India, Thailand dan China.



Bercakap kepada Berita Harian (BH), Zamil Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, menyifatkan keadaan di Myanmar semakin buruk sejak setahun lalu, termasuk dari segi ekonomi, sosial dan juga kesengsaraan rakyat.



"Sejauh ini, tindakan lembut dan tegas Asean belum membuahkan hasil. Junta Myanmar masih tidak melakukan konsensus lima perkara yang dipersetujui Jeneral Min Hlaing bersama pemimpin Asean sebelum ini," katanya.



Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata keadaan di Myanmar tidak bertambah baik walaupun kini seakan--akan ada 'gencatan senjata' antara tentera dan penunjuk perasaan.



"Namun, ia mungkin menjadi lebih buruk selepas Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara. Mungkin kita hanya menanti waktunya, dengan tekanan dalaman yang meningkat daripada kuasa rakyat, bersamaan tekanan rakan daripadad Asean, boleh mendorong junta tentera kembali ke landasan pendemokrasian negara, tetapi dengan syarat mereka (tentera) sendiri," ujarnya kepada BH.



Namun, beliau menekankan tidak ada proses demokrasi boleh dilakukan di Myanmar tanpa membabitkan tentera.



Pada 7 Januari lalu, Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, yang juga pengerusi Asean tahun ini, melakukan lawatan kontroversial dua hari ke Myanmar.



Lawatan itu dikecam rakyat Myanmar yang melihatnya sebagai 'mengiktiraf' pemerintahan junta tentera.



Dr Oh berkata lawatan itu mendapat reaksi bercampur-campur, termasuk penentangan daripada rakyat Myanmar. Namun ada juga yang berharap Encik Hun Sen, sebagai pemimpin senior Asean, dapat meraih hasil.



"Namun akhirnya, saya kira ia tidak berhasil kerana tiada komitmen kukuh atau konsesi yang diberi pihak junta.



"Saya berpendapat krisis Myanmar ini akan berterusan buat masa agak lama dan tiada huraian segera, walaupun dengan usaha gigih Asean dan Hun Sen," ujar Dr Oh.



Buat Dr Mustafa, lawatan Encik Hun Seng adalah langkah diplomatik signifikan dan melambangkan keutamaan pemimpin Kemboja itu sebagai pengerusi Asean tahun ini.



"Beliau percaya permulaan baik dengan junta Myanmar mungkin boleh membantu beliau meyakinkan pihak junta supaya secara serius melaksana konsensus lima perkara Asean.



"Lawatan ini juga diadakan dengan tujuan Kemboja, sebagai pengerusi Asean, mahu membawa Myanmar kembali ke dalam keluarga besar Asean memandangkan Myanmar sebelum ini tidak diundang ke sidang puncak Asean dan sidang lain yang membabitkan negara lain," terang beliau.



Myanmar sudah bergelora hampir setahun. Negara itu kini terpukul besar dari segi ekonomi, sosial dan politik. Ramai rakyatnya terjejas teruk dan ketiadaan pekerjaan, dengan kadar kemiskinan terus meningkat.



Lebih membimbangkan, krisis perang saudara semakin meningkat sedang lebih ramai rakyatnya mengangkat senjata menentang junta tentera yang dilihat mereka menindas kebebasan bersuara, politik dan kehidupan mereka.



Hukuman penjara ke atas Cik Suu Kyi atau sebarang perkara buruk yang berlaku kepada beliau akan memburukkan keadaan.



Keluarga besar Asean mesti terus berusaha mencari huraian terbaik, yang kemungkinan besar perlu melibatkan semua pihak, termasuk NLD dan tentera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >