KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau terguris hati dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak melakukan serangan peribadi terhadapnya, lapor laman web mStar.
Najib, yang juga Presiden Umno berkata, beliau sebenarnya boleh menerima pendapat dan teguran bekas perdana menteri itu berkaitan dasar dan pentadbirannya.
"Tetapi dia (Tun Dr Mahathir) telah keluarkan pendapat-pendapat yang terlalu personal (peribadi)...," katanya dalam satu temu bual bersama stesen televisyen TV3 sempena Perhimpunan Agung Umno 2015.
Najib juga menyifatkan Dr Mahathir tidak berpegang kepada kata-katanya dahulu, bahawa seorang pemimpin apabila tidak lagi berada dalam kerajaan, beliau haruslah sentiasa menyokong dan mendukung kepimpinan kerajaan semasa.
"Waktu kita dalam kerajaan, kita hargai sokongan yang tidak dalam kerajaan. Waktu kita di luar kerajaan, kita patut sokong orang dalam kerajaan.
"Itu yang dia (Dr Mahathir) selalu cakap... tapi saya tengok Tun ini dalam banyak hal, dia tidak amalkan apa yang dia cakap ketika dia dalam kerajaan," katanya.
Najib juga mengakui berasa kesal dengan tindakan Dr Mahathir yang kini lebih kerap mengkritik kepimpinannya berbanding menegur pembangkang dalam tulisan di laman blognya, lapor mStar.