Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Nato ganda jumlah tentera berdekatan Ukraine

Mar 25, 2022 | 05:30 AM



BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengumumkan penggandaan kehadiran tenteranya berhampiran Ukraine sambil menyatakan perikatan tentera itu akan membantu Ukraine untuk bersedia menghadapi kemungkinan ancaman kimia, biologi dan juga nuklear ekoran pencerobohan Russia.



Pengumuman oleh Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg, dibuat beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mendarat di Eropah untuk menghadiri satu sesi strategi luar biasa dengan perikatan itu, yang diwujudkan pada 1949 untuk membendung kuasa Soviet Union.



Amaran itu menekankan usaha untuk menghalang konflik di Ukraine daripada merebak di luar sempadan negara ini sekali gus menimbulkan risiko Nato bertembung langsung dengan Russia.



Kemungkinan Russia menggunakan senjata pemusnah besar-besaran juga mencerminkan kegagalan tentera Russia untuk mencapai kejayaan yang diharapkan sejauh ini ekoran penentangan Ukraine yang gigih.



Mesyuarat Nato yang melibatkan Encik Biden dijadual bermula semalam dan bakal disusuli dengan sesi bersama rakan sejawatan daripada kuasa perindustrian Kumpulan 7 (G7), dan kemudian dengan Kesatuan Eropah (EU).



Perbincangan itu dijangka meneroka cara untuk mengetatkan lagi sekatan ekonomi Barat ke atas Russia yang bertujuan mendesak presidennya, Encik Vladimir Putin, untuk menghentikan perang di Ukraine.



Sekatan ketat itu, yang telah menjatuhkan nilai mata wang Russia dan mula menyebabkan kekurangan bekalan yang teruk di dalam Russia, telah menghapuskan integrasi kewangannya dengan dunia selama beberapa dekad, dalam tempoh beberapa minggu sahaja.



Encik Biden dijangka mahu menguatkan sekutu Baratnya dengan kemungkinan konflik Ukraine berlarutan selama berbulan atau bertahun, yang memerlukan komitmen jangka panjang terhadap konfrontasi ekonomi dan ketenteraan, kata pegawai pentadbiran Amerika.



Namun penduduk Eropah tidak mahu mengikut jejak Amerika dalam menghentikan pembelian minyak dan gas Russia, yang jauh lebih kritikal kepada ekonomi mereka.



Nato dan EU setakat ini telah terbukti sangat bersatu dalam usaha untuk menjadikan Russia sebagai negara terpinggir selain membantu pasukan pertahanan Ukraine untuk menggagalkan kemaraan tentera Russia di negara itu.



Selain itu, Russia mungkin telah mengalami lebih banyak kehilangan jiwa daripada yang dianggarkan sebelum ini, menurut seorang pegawai kanan tentera Nato yang berkata bahawa 7,000 hingga 15,000 askar Russia telah terbunuh di Ukraine sejak sebulan lalu.



Angka itu lebih tinggi daripada anggaran yang diberikan Pentagon sebelumnya iaitu 7,000.



Di sebalik kekecewaan Russia di Ukraine setakat ini, Encik Putin tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur dalam kempennya untuk menakluki bekas republik Soviet itu dengan pengeboman dan bedilan yang telah meratakan semua atau sebahagian daripada beberapa bandar - menyebabkan satu perempat penduduk kehilangan tempat tinggal selain mewujudkan krisis pelarian terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.



Mencerminkan kebimbangan yang meningkat tentang rancangan Encik Putin, Encik Stoltenberg berkata Nato menggandakan kumpulan pertempurannya kepada lapan di sepanjang sempadan timurnya.



Beliau berkata empat unit sedia tempur tambahan bersaiz batalion, biasanya mempunyai beberapa ratus tentera setiap satu, ditempatkan di Bulgaria, Hungary, Romania dan Slovakia.



"Semua ini tindak balas segera terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine," kata Encik Stoltenberg, sambil menambah bahawa pasukan itu akan kekal di sana "selagi perlu".



Beliau juga memberi amaran bahawa penggunaan senjata kimia atau biologi boleh memberi kesan secara langsung kepada anggota Nato yang berjiran dengan Ukraine.



Encik Stoltenberg berkata sekutu Nato juga akan menawarkan bantuan kepada Ukraine untuk mengurangkan serangan sedemikian. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >