BERLIN (Jerman): Negara 'sedang meningkat maju' sedang bergelut untuk melepaskan diri daripada rasuah, sebuah badan pemantau antirasuah memberi amaran pada Rabu (27 Jan), sambil memetik skandal besar-besaran di Brazil dan Malaysia sebagai membimbangkan.
Dalam Indeks Tanggapan Rasuah 2015, Transparency International (TI) berkata negara Amerika Latin menunjukkan kemerosotan terbesar dalam pemeringkatan 168 negaranya, merosot tujuh tangga ke kedudukan ke-76 berikutan skandal sogokan menyelubungi gergasi minyak negara Petrobras.
Dakwaan rasuah melibat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mendedahkan masalah rasuah di Malaysia, katanya.
Secara keseluruhan, dua pertiga negara yang dinilai TI mendapat mata di bawah paras 50 daripada mata tertinggi 100.
Negara Nordic - Denmark, Finland dan Sweden - mendahului senarai itu dengan sektor awam bersih, sebagaimana tahun-tahun lalu, manakala negara bergolak atau menindas - Afghanistan, Korea Utara dan Somalia - jauh ke belakang.
Gergasi baru muncul, khususnya, menunjukkan gambaran membimbangkan dalam indeks itu, yang digunakan secara meluas sebagai ukuran tahap rasuah oleh pemerintah , sistem undang-undang, parti politik dan birokrasi.
"Semua negara Brics menghadapi cabaran, negara-negara yang benar-benar sedang meningkat maju sehingga dalam ekonomi dunia, mereka semua mendapat mata di bawah 50 dalam indeks kami," kata Cik Robin Hodess, pengarah kumpulan TI bagi penyelidikan, merujuk kepada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Afrika Selatan di tempat ke-61 dengan 44 mata. Brazil dan India terikat di tempat ke-76, dengan hanya 38 mata, manakala China di tempat ke-83 dengan 37 mata. Russia di tempat ke- 119, dengan hanya 29 mata.
Mengenai kes Datuk Seri Najib yang dilepaskan pada Selasa (26 Jan) daripada sembarang tuduhan berkaitan dana AS$681 juta ($970 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi beliau, Cik Samantha Grant, penyelaras Asia Tenggara TI, berkata keputusan itu meninggalkan soalan utama tidak terjawab, termasuk "mengapa derma itu dibuat".
"Saya rasa kes ini benar-benar menonjolkan jenis masalah dan hakikat bahawa walaupun beberapa langkah telah diambil, berusaha hingga ke dasar masalah ini, dan benar-benar berusaha hingga ke akar masalah rasuah di Malaysia masih belum diberi kesungguhan politik dan perhatian jujur yang mencukupi," ujar beliau.
TI menggesa orang ramai mendesak pemerintah mereka supaya melaksana pembaharuan yang amat diperlukan untuk menamatkan rasuah, musuh nombor satu.
"Orang ramai benar-benar boleh membuat perubahan besar dalam menarik perhatian golongan elit kepada isu-isu rasuah, dan kami fikir pada jangka panjang ia akan memberi impak besar jika orang ramai menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah rasuah," kata Cik Hodess. - AFP