Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu pecat menteri pertahanan atas sebab krisis kepercayaan

Pemecatan Yoav Gallant cetus bantahan besar-besaran
Nov 6, 2024 | 4:28 PM
Berikutan pemecatannya, Encik Yoav Gallant, 65 tahun, berikrar untuk terus bekerja bagi memastikan keselamatan negara Israel.
Berikutan pemecatannya, Encik Yoav Gallant, 65 tahun, berikrar untuk terus bekerja bagi memastikan keselamatan negara Israel. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah memecat Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, pada 5 November memetik “krisis kepercayaan” sebagai punca beliau mengambil tindakan itu.

Beliau memilih sekutu rapatnya, Encik Israel Katz, sebagai pengganti bagi mengetuai perang negara itu di Gaza dan Lebanon.

Namun, pengkritik Encik Netanyahu menuduhnya mendahulukan politik daripada keselamatan negara ketika Israel bersiap sedia untuk membalas dendam terhadap serangan udara Iran pada 26 Oktober.

Selepas Encik Gallant dipecat, penunjuk perasaan di Israel menyekat lebuh raya dan menyalakan unggun api di jalan raya, kata polis.

Encik Gallant dan Encik Netanyahu, kedua-duanya dalam parti sayap kanan Likud, telah bertelagah selama berbulan-bulan berhubung matlamat perang 13 bulan Israel di Gaza menentang Hamas.

Bagaimanapun, pemecatan Encik Gallant menimbulkan kejutan ketika sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat mengadakan pilihan raya presidennya.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza dan Lebanon telah memasuki fasa baru berikutan pembunuhan komander tertinggi kumpulan Hamas Palestin dan Hezbollah di Lebanon.

Encik Netanyahu berkata Encik Gallant telah membuat kenyataan yang “bercanggah dengan keputusan pemerintah dan Kabinet”.

Encik Gallant, seorang mantan jeneral, merangka perang menentang Hamas di Gaza tetapi tidak disenangi Encik Netanyahu mengenai masa depan kempen itu.

Dalam responsnya, Encik Gallant berkata: “Keselamatan negara Israel sentiasa dan akan sentiasa menjadi misi hidup saya.”

Encik Katz berikrar mengembalikan tebusan Israel dari Gaza dan memusnahkan Hamas dan Hezbollah.

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan misi demi keselamatan negara Israel dan rakyatnya,” kata Encik Katz di wadah media sosial X.

Sebagai Menteri Luar, Encik Katz, telah melarang Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Antonio Guterres, daripada memasuki Israel atas apa yang disifatkannya sebagai kegagalan untuk mengutuk serangan peluru berpandu Iran dan tindakan anti-Yahudi dan anti-Israel.

Pada September, beliau menolak cadangan Amerika dan Perancis untuk gencatan senjata selama 21 hari di Lebanon.

Di Washington, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berkata Encik Gallant telah menjadi rakan kongsi penting dan ia akan terus bekerjasama dengan Encik Katz.

Di sebalik pemecatannya, Encik Gallant menyeru pemerintah Israel supaya membawa pulang tebusan di Gaza semasa mereka “masih hidup” dan menegaskan bahawa semua warga Israel berkhidmat dalam tentera bagi mempertahankan negara.

“Kita mesti melakukan ini secepat mungkin semasa mereka masih hidup,” kata Encik Gallant, 65 tahun, dalam satu kenyataan di televisyen pada lewat 5 November.

“Kita tidak boleh membenarkan undang-undang yang korup dan cacat diluluskan di Knesset (Parlimen Israel) yang akan mengecualikan berpuluh-puluh ribu rakyat daripada memikul beban,” jelasnya.

Encik Gallant merujuk kepada anggota masyarakat ultra-Ortodoks, yang mengikut sejarah dikecualikan daripada perkhidmatan mandatori sehingga keputusan Mahkamah Agung pada Jun.

Pada 4 November, Encik Gallant telah mengeluarkan 7,000 draf perintah tentera tambahan terhadap individu daripada masyarakat ultra-Ortodoks.

Arahan itu dibuat selepas pusingan pertama 3,000 draf dihantar pada Julai, mencetuskan bantahan daripada masyarakat berkenaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg