Niaga 'tergantung', bantahan di Myanmar belum ada tanda reda
YANGON: Perniagaan ditutup di Myanmar semalam, menyertai bantahan umum untuk menentang kudeta tentera yang kini telah meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa.
Ribuan rakyatnya juga meneruskan bantahan dan membanjiri jalan raya, meskipun kepimpinan tentera atau junta yang kini berkuasa telah berkata konfrontasi sedemikian boleh mengorbankan nyawa.
Selain sebahagian kedai-kedai peniaga setempat, beberapa rantaian kedai antarabangsa juga ditutup, termasuk restoran makanan segera KFC yang dimiliki Yum Brand serta khidmat penghantaran makanan Foodpanda yang dimiliki Delivery Hero.
Grab, yang menyediakan kededua khidmat kenderaan sewa privet dan penghantaran makanan juga telah menghentikan khidmat penghantaran makanan.
Namun, sehingga masa akhbar ini dicetak, Grab masih meneruskan khidmat kenderaan sewa privet di sini.
Kelmarin, ratusan orang menghadiri upacara pengebumian Mya Thwate Thwate Khaing, 20 tahun, di ibu kota Naypytaw.
Mendiang Mya, yang ditembak di kepala pada 9 Februari semasa menyertai bantahan, kini turut menjadi lambang bantahan rakyat Myanmar.
Sehari sebelum insiden tersebut, dua lagi pembantah terbunuh selepas polis menembak kumpulan pembantah di kota Mandalay, hari berdarah pertama dalam kempen prodemokrasi di Myanmar.
Namun, tiga minggu selepas merampas kuasa, kepimpinan junta gagal menyekat bantahan harian dan pergerakan awam yang cuba memaksa pihak berkuasa menarik balik kudeta 1 Februari itu dan melepaskan dari tahanan pemimpin dilantik Aung San Suu Kyi.
"Semua orang menyertai bantahan ini," kata Encik San San Maw, 46 tahun yang ditemui di simpang jalan Hledan di kota Yangon. Simpang tersebut telah menjadi tempat perhimpunan utama bagi bantahan di kota tersebut.
"Kita semua harus keluar (membantah)," kata beliau. - Agensi berita.
Laporan lain: