KOTA BHARU (Kelantan): Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Rakyat (DAP) supaya jangan memaksa parti itu mengikut telunjuk mereka.
Menurut beliau, tidak ada hak bagi mana-mana parti untuk paksa parti lain buat sesuatu, apa lagi mendesak presiden sebuah parti yang lain menarik balik kenyataannya.
"Mereka tidak ada hak untuk buat begitu. Kita tiga parti yang berpakat melawan Umno.
"Pas adalah "kakak yang tua" (parti yang paling lama), sudah ada dari 1951 lagi. Orang Pas ada pengalaman yang begitu banyak sebelum orang (parti) lain," tegasnya.
Semalam, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Encik Nik Nazmi Nik Ahmad mendesak Datuk Seri Abdul Hadi menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak layak memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor baharu sebagai sebab penolakan Pas terhadap pencalonan Presiden PKR itu.
Pengerusi DAP Selangor, Encik Tony Pua pula mempersoalkan kemampuan Datuk Seri Abdul Hadi sendiri atas kegagalan mempertahankan penguasaan Pas di Terengganu pada pilihan raya 2004 selain melantik pengganti Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika Menteri Besar Kedah itu terlantar sakit.
Namun, Datuk Nik Aziz mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi yang menurut beliau, tidak membuat keputusan itu bersendirian. - Sinar Harian.