MUSCAT: Lelaki di Oman memakai dishdasha, pakaian tradisional lengan panjang yang menutup seluruh tubuh mereka.

Biasanya ia berwarna putih, tetapi ada juga dalam semua warna dan ada juga berlengan pendek.

Sekali pandang, jubah dishdasha ini tidak jauh bezanya dengan jubah-jubah yang dipakai oleh negara-negara Arab yang lain.

Perbezaan dapat dilihat pada bahagian leher jubah yang bulat dihiasi sulaman atau 'mahar' sehingga ke bahagian dada.

Bahagian leher yang bulat dihiasi sulaman di sekelilingnya sehingga ke bahagian dada, serta rambu yang terjuntai merupakan ciri unik dishdasha yang membezakan pakaian kebangsaan Oman itu daripada jubah di negara Arab yang lain.

Bagi mengekalkan tradisi ini, kerajaan kesultanan Oman baru-baru ini memutuskan untuk mengenakan denda terhadap mana-mana individu yang tidak memakai dishdasha atau cuba untuk mengubah identiti pakaian kebangsaan negara itu.

Keputusan mengenakan denda sehingga 1,000 riyal ($3,500) yang diputuskan oleh kerajaan pada awal bulan ini adalah usaha mereka dalam mengekalkan warisan Oman.

Tindakan tegas itu juga akan dihadapi oleh mereka yang memakai dishdasha tiruan.

Denda itu akan meningkat sekali ganda sekiranya undang-undang baru berkenaan dilanggar buat kali kedua dan seterusnya.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Oman, Encik Qais Mohammed Al Yousef, telah mengeluarkan keputusan dan menetapkan larangan mengimport atau membuat pengubah suaian dishdasha sehingga boleh menjejaskan identiti Oman.

Ciri-ciri rekaan pakaian itu adalah mengikut kriteria yang mensyaratkan ia dibuat daripada bahan kapas dengan sulaman bercorak hanya pada kolar, bahagian dada dan kaf pada pergelangan tangan.

"Fabriknya mestilah satu warna," jelas pegawai kementerian itu sambil menambah warna putih atau neutral lebih disenangi.

Lelaki Oman kebiasaannya turut mengenakan penutup kepala menyerupai kopiah yang dikenali sebagai 'Kumma' atau hiasan kepala seperti lilitan sarban yang dipanggil 'Massar" bagi penampilan menyeluruh. - Agensi berita.