IRPIN (Ukraine): Jambatan yang menyeberangi Sungai Irpin sudah rosak teruk akibat diletupkan beberapa hari sebelumnya oleh askar Ukraine yang bertujuan memperlahankan kemaraan Russia ke ibu kota, Kyiv.
Namun begitu, jambatan itu tetap menawarkan talian penting kepada penduduk awam yang terdesak untuk melarikan diri dari pertempuran.
Kelmarin, sedang pelarian Ukraine berlegar-legar berhampiran jambatan itu, mencongak peluang mereka untuk melintasi sungai itu, satu keluarga yang sarat dengan beg galas dan beg pakaian memutuskan untuk melakukan penyeberangan itu.
Tiba-tiba mortar Russia membedil kawasan jambatan itu sedang pelarian itu melintasi ke arah Kyiv.
Kepulan debu konkrit berterbangan ke udara. Apabila reda, penduduk Ukraine dilihat berlari pantas menjauhi tempat kejadian.
Tetapi bukan bagi keluarga itu. Seorang ibu dan dua anaknya terbaring kaku di jalan raya, bersama seorang rakan keluarga.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah berulang kali menafikan tenteranya menyasarkan orang awam yang melarikan diri dari zon pertempuran.
Namun, sasaran bedilan ke arah orang awam masih berlaku.
Hanya segelintir tentera Ukraine berada berhampiran jambatan itu apabila peluru mortar mula membedil.
Askar Ukraine di situ tidak terlibat dalam pertempuran tetapi sedang membantu pelarian membawa anak dan beg ke arah ibu kota.
"Tentera adalah tentera dan itu adalah satu perkara," kata seorang askar.
"Tetapi ini adalah orang awam, orang yang menunggu sehingga saat terakhir."
Sejak Sabtu lalu, ratusan rakyat Ukraine yang melarikan diri dari pertempuran di tiga bandar di pinggir barat Kyiv, telah berkumpul di sekitar jambatan itu untuk menuju ke ibu kota.
Orang awam yang menyeberangi jambatan itu ke Kyiv membentuk beberapa kumpulan kecil dan bersama-sama berlari sekitar 90 meter sambil berisiko terdedah kepada tembakan tentera Russia.
Pada awal pagi kelmarin, gabenor wilayah mengumumkan bahawa laluan keluar dari Irpin itu amat tidak selamat dan terpaksa disekat.
Tetapi orang ramai terus mencuba, berjalan pantas di atas serpihan jambatan yang rosak dan berlari melintasi jalan raya yang terdedah. - Agensi berita.