Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pakar: Anwar tidak akan jaya minta darurat ditarik balik

Keputusan Agong tidak boleh dicabar kerana Ordinan Darurat sudah diwarta
Jan 19, 2021 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Pakar politik percaya usaha pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak mendapatkan anggota parlimen lain memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menarik balik pengisytiharan darurat dan membenarkan Parlimen bersidang tidak akan berjaya, sekurang-kurangnya buat masa ini.



Ini kerana keputusan Agong mengisytiharkan darurat tidak boleh dicabar melalui sebarang cara sah, kata mereka, dan Jawatankuasa Khas Berkecuali yang belum dibentuk, yang akan menasihatkan Agong mengenai perkara itu, akan mempunyai kuasa berkenaan bila darurat harus ditarik balik.



Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, mengatakan tidak ada apa-apa dapat dilakukan Datuk Seri Anwar semasa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan baru-baru ini dilaksana.



"Pengumuman Darurat dan ordinan ialah dua perkara berbeza. Agong boleh membatalkan pengisytiharan Darurat, tetapi hanya sebelum ordinan itu diwartakan.



"Anwar boleh meminta Agong membatalkan pengisytiharan Darurat, tetapi itu tidak mencukupi kerana Agong perlu membatalkan ordinan itu juga.



"Sekarang setelah ordinan itu diwartakan, Anwar harus menunggu enam bulan atau bila-bila ordinan itu dihapuskan, jika beliau mahu mencabarnya," ulas Dr Shamsul.



"Adalah penting juga untuk perhatikan bahawa Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan mengatakan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak dapat dicabar di mana-mana pengadilan," tambahnya.



Ordinan Darurat ialah undang-undang khas yang boleh diluluskan oleh Agong dalam tempoh darurat tanpa perlu melalui Parlimen.



Pada 12 Januari, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat seluruh negara hingga 1 Ogos 2021, dan Ordinan Darurat diwartakan dua hari kemudian.



Profesor Dr Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia pula berkata beliau tidak yakin Datuk Anwar boleh melakukan apa-apa untuk mencabar secara sah keputusan Agong, namun beliau menambah bahawa ketua pembangkang itu mungkin mempunyai perancangannya sendiri.



"Anwar mungkin telah meminta pandangan pasukan undang-undangnya sebelum melakukan keputusan itu, tapi saya tidak dapat melihat cara beliau boleh mencabar ini secara sah kerana ia telah diperkenan dan ordinan sudah pun diwartakan.



"Jadi, apa guna mencabar sesuatu secara sah jika ia tidak akan berpihak padanya?



"Menarik juga untuk melihat apa tujuannya, tapi saya tidak yakin ini dapat dilakukan dalam masa terdekat," ujar Dr Pandian.



Bagaimanapun, seorang pakar perlembagaan, yang tidak mahu namanya disiarkan, memetik kes R (Miller) v Perdana Menteri United Kingdom 2019, yang juga dikenali sebagai kes Miller II, ketika ditanya mengenai kemungkinan Datuk Anwar berjaya dalam usahanya itu.



Kes Miller II adalah kes undang-undang perlembagaan yang menjadi mercu tanda hak prerogatif kerajaan menunda Parlimen Britain.



Ini setelah Perdana Menteri UK Boris Johnson menasihati Ratu England supaya menunda parlimen.



Pihak yang tidak senang mengenai nasihat Encik Johnson kepada Ratu Elizabeth membawanya ke mahkamah pada 24 September 2019 dan Mahkamah Tertinggi UK, dalam keputusan sebulat suara oleh 11 hakim, mendapati perkara itu dapat dibenarkan dan nasihat Encik Johnson tidak sah.



Ini menyebabkan penundaan itu dibatalkan dan parlimen tidak jadi ditunda.



Pakar perlembagaan itu menjelaskan jika Datuk Anwar mahu mencabar Agong, beliau mesti ke Mahkamah Tinggi.



"Ada segolongan orang mencabar nasihat Johnson, kita harus ingat, mereka tidak mencabar Ratu, hanya nasihat perdana menteri kepada Ratu, dan mereka menang.



"Ini mungkin pendekatan yang dipertimbang Anwar, iaitu mempertahan keputusan Agong tetapi pada masa sama mencabar nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Agong," jelas beliau. - NST.




ADA PERANCANGAN SENDIRI?



''Anwar mungkin telah meminta pandangan pasukan undang-undangnya sebelum melakukan keputusan itu, tapi saya tidak dapat melihat cara beliau boleh mencabar ini secara sah kerana ia telah diperkenan dan ordinan sudah pun diwartakan. Jadi, apa guna mencabar sesuatu secara sah jika ia tidak akan berpihak padanya? Menarik juga untuk melihat apa tujuannya, tapi saya tidak yakin ini dapat dilakukan dalam masa terdekat.''

- Profesor Dr Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia.



''Ada segolongan orang mencabar nasihat (Perdana Menteri Britain Boris) Johnson, kita harus ingat, mereka tidak mencabar Ratu, hanya nasihat perdana menteri kepada Ratu (agar parlimen ditunda), dan mereka menang. Ini mungkin pendekatan yang dipertimbang Anwar, iaitu mempertahan keputusan Agong tetapi pada masa sama mencabar nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Agong.''
- Seorang pakar perlembagaan yang tidak mahu namanya disiarkan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >