SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pakar, pembangkang selar program vaksinasi Covid-19 M'sia 'perlahan'

Pakar, pembangkang selar program vaksinasi Covid-19 M'sia 'perlahan'

May 11, 2021 | 5:30 AM

Pakar, pembangkang selar program vaksinasi Covid-19 M'sia 'perlahan'

VAKSINASI SUKARELA: Orang ramai menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca semasa program vaksinasi sukarela di Kuala Lumpur pada 6 Mei. Malaysia telah mula memberi AstraZeneca kepada mereka yang mahu menerimanya, setelah vaksin itu dikeluarkan daripada program vaksinasi nasional dek kebimbangan mengenai keselamatan. - Foto EPA-EFE
VAKSINASI SUKARELA: Orang ramai menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca semasa program vaksinasi sukarela di Kuala Lumpur pada 6 Mei. Malaysia telah mula memberi AstraZeneca kepada mereka yang mahu menerimanya, setelah vaksin itu dikeluarkan daripada program vaksinasi nasional dek kebimbangan mengenai keselamatan. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan dan pembangkang di Malaysia menggesa supaya program vaksinasi Covid-19 dilaksana dengan lebih cepat, sedang jangkitan koronavirus itu terus melonjak di negara itu.

Mereka juga mempersoal tentang bekalan vaksin di negara itu. Program vaksinasi Malaysia bermula 24 Februari lalu, tetapi ahli politik pembangkang mengecamnya, mendakwa ia dijalankan terlalu perlahan.

"Bagi mengurangkan bilangan kes Covid-19 harian, kerajaan harus memastikan program kawalan dan pencegahan Covid-19 dijalankan secara berkesan," kata Dr Kamarul Imran Musa, pakar epidemiologi perubatan dan pakar biostatistik yang juga penolong profesor di Universiti Sains Malaysia.

Ini termasuk melancarkan progam vaksinasi pada tahap maksimum secepat mungkin, kata beliau kepada The Straits Times.

Hampir 10 juta orang di Malaysia telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19, tetapi hanya lebih satu juta orang, iaitu 10.6 peratus, telah mendapatkan dos pertama atau kededua dos yang diperlukan.

Ini bermakna hanya sekitar tiga peratus penduduk di Malaysia telah divaksinasi dalam dua setengah bulan. Dr Kamarul berkata perjalanan masih jauh untuk memvaksinasi 80 peratus penduduk bagi mencapai imuniti berkumpulan, yang disasarkan kerajaan Disember tahun ini.

Anggota dewan pembangkang daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Rajiv Rishyakaran juga menyuarakan keprihatinan tentang pengagihan vaksin Sinovac yang tergendala.

Syarikat farmaseutikal Malaysia Pharmaniaga mengumumkan Januari lalu ia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat China Sinovac Biotech untuk membotolkan dan mengagih 14 juta dos vaksin Covid-19.

Malaysia telah menerima 200 liter vaksin tersebut pada 27 Februari, mencukupi bagi 300,000 dos. Lagi dua penghantaran 100,000 dos Sinovac tiba di Malaysia pada 15 Mac dan 22 Mac, dengan Menteri Penyelaras bagi Imunisasi Khairy Jamaluddin menerima dos pertama pada 18 Mac.

Namun Encik Rishyakaran berkata tiada berita lanjut mengenai cara 300,000 dos itu digunakan.

"Jika Pharmaniaga tidak mampu membotolkan dan mengagihkan produk itu, Khairy dan kerajaan perlu menangani kekurangan ini dengan segera," kata beliau di Facebook.

Encik Khairy minggu lalu berkata program vaksinasi boleh tergendala kerana vaksin tiba secara bersaing, sambil mendakwa syarikat farmaseutikal mengutamakan negara lebih kaya.

Namun, Menteri Kesihatan Adham Baba berkata program itu sedang berjalan mengikut jadual.

"Kami akan menerima 3.52 juta dos vaksin daripada tiga pembekal bulan ini dan jumlah ini akan bertambah dalam bulan-bulan akan datang.

"Kami yakin kami boleh menjalankan program vaksinasi dengan lebih cepat," kata Dr Adham. - Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg