PHUKET: Wabak Covid-19 telah membawa mala petaka di serata dunia, tetapi bagi masyarakat 'gipsi laut' Thailand, ia membawa kelegaan daripada ancaman pelancongan besar-besaran.
Sejak wabak itu bermula, kehidupan menjadi lebih selesa bagi Encik Sanan Changnam dan masyarakatnya - terdapat banyak ikan untuk dimakan dan projek hartanah di tanah nenek moyang mereka di kawasan pelancongan Phuket terhenti.
Di perairan Laut Andaman, Encik Sanan menangkap ikan dan kerang, dengan tombak di tangan.
Sekali selam, beliau mampu menangkap beberapa ikan kerapu sebelum naik ke permukaan.
Dengan Thailand ditutup kepada pengunjung asing selama sembilan bulan lalu, bot pelancong tersangkut di pelabuhan dan kegiatan menangkap ikan menjadi lebih mudah bagi masyarakat Chao Lay, atau 'orang laut.
"Kami tidak perlu menyelam sedalam sebelumnya, jadi ini tidak bahaya," kata Encik Sanan, 42 tahun, kepada AFP.
Nenek moyangnya, bekas pengembara berasal dari Indonesia hampir 300 tahun lalu, menduduki sebidang tanah di Rawai, kawasan pantai di selatan Phuket, jauh sebelum pulau itu menjadi salah satu destinasi paling popular di negara itu.
Lebih sembilan juta pelawat datang ke Phuket pada 2019 dan ledakan pengunjung itu memberi kesan besar - stok ikan merosot, kawasan penangkapan ikan yang mengecil dan pembinaan bangunan yang tidak menyenangkan.
Cara hidup tradisional masyarakat Chao Lay menjadi tunggang terbalik, namun wabak Covid-19 telah menghentikan itu semua.
"Ia memberi kita sedikit ruang untuk bernafas," kata Encik Alim, pak cik Encik Sanan.
Perjuangan tidak setara
Pihak berkuasa kini kurang bertegas apabila orang Chao Lay berlayar di kawasan rizab laut terlindung atau pulau kecil yang biasanya disediakan buat pelancong.
"Sebelumnya, kami berisiko ditangkap pasukan peronda, atau kapal kami dirampas," katanya.
"Kami kadangkala naik ke permukaan laut terlalu cepat (semasa menangkap ikan), satu aksi bahaya dan boleh menyebabkan kecederaan, bahkan kematian."
Ancaman pengusiran juga timbul bagi 1,200 orang Chao Lay yang tinggal di Rawai, di mana pemaju harta tanah telah lama mengintai tanah mereka - sepanjang beberapa ratus meter menghadap ke laut.
Tetapi dengan pelancongan terhenti ekoran Covid-19, ekonomi Phuket lumpuh, puluhan ribu pekerja telah kembali ke wilayah asal mereka di tempat lain di Thailand dan projek pembinaan terhenti.
"Kami berharap semua ini akan ditinggalkan," kata Encik Ngim Damrongkaset, 75 tahun, seorang wakil masyarakat di Rawai.
"Mereka ingin mengusir kami dari rumah kami, dan juga mencegah kami dari ke laut."
'Pertarungan' dengan penganjur pelancongan adalah berat sebelah: banyak orang Chao Lay tidak dapat membaca atau menulis dan tidak tahu mereka boleh mendaftar tanah mereka atas nama mereka.
Banyak keluarga masih belum memiliki hak milik atas tanah tempat mereka tinggal, walaupun kerajaan berusaha membantu mereka membuktikan bahawa mereka berada di sana jauh sebelum pelabur.
Kerajaan telah mengarahkan analisis foto udara lama dan tulang nenek moyang Chao Lay - yang dikuburkan secara tradisional di pantai 'supaya mereka masih dapat mendengar bunyi ombak'.
Beri bantuan
Dr Narumon Arunotai, seorang antropologi di Universiti Chulalongkorn Bangkok, berkata kerajaan "mesti merebut peluang yang diberi oleh wabak itu untuk memikirkan kembali wawasan mereka mengenai Chao Lay".
"Covid-19 adalah peluang mengubah mentaliti. Pelancongan besar-besaran di Phuket telah menjadi bencana bagi orang gipsi laut," ujarnya.
Satu pilihan adalah pihak berkuasa membeli tanah itu dan menyerahkannya kepada masyarakat itu secara kekal.
Kerajaan baru-baru ini telah memperuntuk satu kawasan bakau bagi masyarakat Chao Lay yang berdekatan untuk tinggal sementara dan menangkap ikan - satu langkah pertama tetapi bukan penyelesaian tetap.
"Mereka perlukan sistem pendidikan khas untuk menjaga budaya mereka. Kerajaan juga harus mengizinkan mereka menangkap ikan dengan lebih bebas," kata Dr Narumon.
Orang Chao Lay mempunyai keistimewaan dan tradisi unik.
Anak orang Moken - salah satu daripada tiga cabang Chao Lay - mempunyai ketajaman penglihatan 50 peratus lebih baik di dalam air berbanding rakan mereka di Eropah, menurut kajian 2003.
Dan pemahaman mendalam mereka tentang sekitaran membolehkan ramai daripada mereka melihat tanda-tanda amaran tsunami 2004 yang dahsyat.
Sebilangan besar mereka melarikan diri dan membantu ramai pelancong untuk ke tempat selamat.
"Kami akan selalu menjadi anak laut," senyum Encik Alim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg