Panglima Pasukan Pertahanan S'pura dapat anugerah tertinggi Brunei

PANGLIMA Pasukan Pertahanan (CDF) Singapura, Leftenan Jeneral Melvyn Ong, semalam diberi anugerah tertinggi yang diberikan Brunei kepada pemimpin angkatan bersenjata negara asing.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam, Jeneral Ong menerima anugerah Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang (Darjah Pertama) daripada Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan semalam.

Anugerah tersebut mencerminkan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan kukuh antara Singapura dengan Brunei.

"Saya merasa terhormat menerima anugerah ini. Ia mencerminkan hubungan istimewa antara Angkatan Bersenjata Singapura dengan Angkatan Bersenjata Kerajaan Brunei," kata Jeneral Ong selepas acara tersebut.

Jeneral Ong, yang ditemani isterinya, berada di Brunei sejak kelmarin hingga hari ini.

Dalam rangka kunjungan itu, Jeneral Ong berpeluang mengadakan pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah dan menghadiri Jamuan Diraja malam semalam.

Mindef menambah Angkatan Bersenjata Singapura dan Angkatan Bersenjata Kerajaan Brunei sering mengadakan pelbagai kegiatan dua hala termasuk kunjungan peringkat tinggi, saling menyertai kursus, pertukaran profesional dan latihan tentera dua hala merentasi ketiga-tiga angkatan misalnya Latihan Maju Bersama, Latihan Air Guard dan Latihan Pelican.

Interaksi sedemikian telah membina persefahaman, meningkatkan operasi bersama dan memupuk hubungan serta persahabatan yang kuat di antara kakitangan kededua angkatan bersenjata.