YANGON: Parti pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi telah memenangi majoriti di parlimen Myanmar, umum suruhanjaya pilihan raya pada Jumaat (13 Nov), memberinya cukup kerusi untuk memilih calon pilihannya bagi jawatan presiden apabila badan perundangan baru bersidang depan.
Keputusan pilihan raya diketahui beransur-ansur sejak hujung minggu lalu dan pada Jumaat, suruhanjaya pilihan raya mengumumkan keputusan kumpulan terbaru kerusi yang memberi parti Cik Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), majoriti mutlak di Parlimen.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki Moon dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, telah mengucapkan tahniah kepada beliau bagi kemenangan dalam pilihan raya bebas pertama di negara itu dalam tempoh 25 tahun.
Encik Obama dan Encik Ban juga memuji Presiden Myanmar, Encik Thein Sein, kerana berjaya mengadakan pilihan raya bersejarah, dengan Encik Ban mengiktiraf "keberanian dan wawasan" beliau menganjurkan pilihan raya di mana parti pemerintah ditewaskan.
Encik Thein Sein dan ketua tentera yang kuat, Encik Min Aung Hlaing, berkata mereka akan menghormati keputusan itu dan mengadakan perbincangan perdamaian dengan Cik Suu Kyi tidak lama lagi.
Sokongan jelas kepada kemenangan Cik Suu Kyi boleh melicinkan peralihan selepas pilihan raya yang panjang menjelang sesi terakhir Parlimen lama, yang bersidang pada Isnin.
Cik Suu Kyi dikritik kerana tidak bercakap bagi menentang penderaan terhadap kaum minoriti Muslim Rohingya, dan ia akan menjadi antara isu paling kontroversi yang dihadapi pemerintah baru.
Di Myanmar, presiden mentadbir badan eksekutif, kecuali bagi kementerian dalam negeri, pertahanan dan keselamatan sempadan, yang dikawal oleh tentera.
Cik Suu Kyi dihalang daripada menjadi presiden oleh perlembagaan yang dirangka junta kerana anak-anaknya warga asing. - Reuters