KUALA TERENGGANU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata arahan itu turut terpakai walaupun pada kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN).
"Kita pegang amanat yang telah diberikan kepada akar umbi dan jentera untuk mendukung Perikatan Nasional… PAS sudah bersetuju untuk pakai simbol Perikatan Nasional dalam PRN nanti.
"Kita pegang asas kerjasama tiga parti… mestilah berlaku pembahagian kerusi yang adil antara parti-parti (dalam kerajaan). Kalau dia (BN) tak mahu kerjasama terpulang pada dialah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS ke-67 di sini semalam, lapor Berita Harian Online semalam.
BN pagi semalam mengumumkan 28 calon untuk bertanding pada PRN Melaka iaitu 20 kerusi Umno, tujuh MCA dan satu MIC.
Mengenai calon PAS pula, Datuk Abdul Hadi berkata pengumuman akan dibuat (lewat petang semalam) dan memberi bayangan parti itu akan bertanding satu pertiga daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Melaka nanti.
Beliau juga menegaskan bahawa PAS bukan sekadar penumpang dalam politik negara, sebaliknya mahu menjadi penentu atau kingmaker dalam sebarang permuafakatan yang dibentuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)
Datuk Abdul Hadi berkata, tidak seharusnya parti itu dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup sebagai penumpang.
Tegasnya, PAS perlu menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sekutunya hingga berjaya menarik sokongan rakyat. - Agensi berita.