KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kebanyakan kes perceraian Islam yang direkodkan di Malaysia melibatkan usia perkahwinan lima tahun ke bawah.
Dalam tempoh enam tahun lalu, lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai institusi keluarga Islam di negara ini.
Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.
Berdasarkan perangkaan itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam.
Selain itu, perangkaan perceraian pasangan Islam dalam tempoh lima tahun lalu juga menunjukkan peningkatan begitu ketara iaitu daripada 43,749 kes pada 2011 kepada 53,870 kes pada 2014, naik sebanyak 10,121 kes.
"Kajian menunjukkan tempoh perkahwinan yang berakhir dengan perceraian adalah dalam tempoh lima tahun ke bawah iaitu 37.2 peratus bagi wanita dan 35.4 peratus bagi lelaki.
"Situasi ini secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa tempoh lima tahun merupakan jangka masa yang sangat penting kepada pasangan dalam mengharungi bahtera perkahwinan," katanya ketika ditukil akhbar Kosmo! baru-baru ini. - Kosmo! Online.