TREBES: Seorang pegawai polis kanan Perancis, yang ditembak oleh seorang lelaki Muslim bersenjata pada Jumaat (23 Mac) selepas beliau menukar ganti dirinya sebagai tebusan dalam satu kejadian di sebuah pasar raya di bandar Trebes, dipuji sebagai seorang wira.
Pegawai polis itu, Leftenan Kolonel Arnaud Beltrame, antara sekumpulan pegawai yang bergegas ke tempat kejadian selepas penyerang tersebut, yang mengaku setia kepada kumpulan militan IS, menyerbu pasar raya itu dan menembak ke arah pelanggan serta kakitangan sebelum menjadikan mereka tebusan.
Lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Redouane Lakdim, 26 tahun, menembak mati dua orang di pasar raya itu setelah melepaskan tembakan ke arah penumpang sebuah kereta, membunuh seorang daripada mereka, dan mencederakan seorang pegawai polis.
Bercakap di tempat kejadian, Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb berkata pasukan polis segera bertindak selepas kejadian itu bermula pada 11 pagi.
“Mereka berjaya membawa keluar beberapa orang,” katanya, tetapi penyerang itu menjadikan seorang sebagai perisai manusia.
Leftenan Kolonel Beltrame kemudian menawarkan mengambil alih tempat tebusan berkenaan dan terus berada bersama Lakdim semasa rundingan untuk menamatkan kejadian itu dijalankan.
Beliau “sengaja meninggalkan telefonnya di atas meja” agar pegawai polis yang mengelilingi bangunan itu dapat mendengar, kata Encik Collomb.
“Apabila kami mendengar tembakan, GIGN (pasukan elit polis) bertindak,” kata beliau sambil menambah bahawa Leftenan Kolonel Beltrame “cedera parah”.
Encik Collomb memuji beliau bagi “keberaniannya” “tindakan wiranya”.
Seorang pegawai pasukan SWAT polis turut cedera dalam operasi bagi membunuh lelaki bersenjata itu.
Ladkim membunuh tiga orang kesemuanya dan mencederakan sekurang-kurangnya tiga lagi.
Mangsa yang cedera termasuk pemandu kereta yang dirampas serta seorang pegawai polis yang berlari-lari anak bersama rakan sekerjanya. – AFP.