MINNESOTA: Pendakwaan kes pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd akan diketuai Peguam Negeri Minnesota, Keith Ellison.
Ellison menerusi kenyataan di Twitter berkata, beliau bersedia memikul tugas itu atas dasar tanggungjawab dan peri kemanusiaan yang amat mendalam, bagi membolehkan keadilan diberi kepada Floyd.
"Kami akan mengumpul segala bukti dan sumber bagi memberikan keadilan terhadap kes ini," katanya.
Ellison akan bekerjasama bersama Peguam Hennepin County, Mike Freeman yang pada Jumaat lalu mengumumkan pertuduhan membunuh kelas ketiga dan kelas kedua terhadap pegawai polis, Derek Chauvin.
Chauvin dilihat jelas berada di dalam video, dan menggunakan lututnya bagi menekan Floyd ke tanah.
Tiga lagi pegawai terbabit dalam kes itu tidak berdepan sebarang pendakwaan, namun dipecat dari perkhidmatan polis bersama-sama Chauvin.
Keluarga Floyd sebelum ini memohon menggunakan khidmat Ellison dan mengambil alih kes berkenaan daripada Freeman. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg