KEBAKARAN DI AUSTRALIA

Pelancong, bomba diarah keluar dari kawasan terjejas

SYDNEY: Pelancong dan anggota bomba terpaksa menyelamatkan diri daripada kebakaran besar yang marak di tenggara Australia semalam, sedang satu gelombang panas mencetuskan semula kebakaran belukar yang mengancam seluruh negara.

Pihak berkuasa berkata "agak ramai" daripada 30,000 pelancong yang mengunjungi hujung tenggara benua indah itu telah menuruti arahan berpindah.

Lebih sedozen kebakaran berlaku di kawasan pedalaman East Gippsland, ada yang begitu marak sehingga ratusan anggota bomba ditarik balik dari pinggir kebakaran yang dianggar sepanjang 1,000 kilometer.

Ia adalah kecemasan terbaru dalam musim kebakaran musim panas Australia yang diburukkan lagi dengan kemarau berpanjangan dan perubahan iklim.

Sepuluh orang terkorban, lebih 1,000 rumah musnah dan lebih tiga juta hektar - kawasan yang berukuran lebih luas daripada Belgium - hangus.

Keadaan bertambah buruk Jumaat lalu dengan angin kencang dan suhu meningkat di seluruh negara - mencapai 47 darjah Celsius di Australia Barat, tetapi mencecah 40 darjah di semua rantau - termasuk pulau Tasmania yang biasanya bersuhu rendah.

Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada pelancong yang menikmati cuti musim panas Australia di East Gippsland bahawa kebakaran akan menyekat jalan raya utama terakhir yang masih dibuka.

Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan Victoria, Encik Andrew Crisp, berkata penduduk dan pelancong yang masih berada di kawasan itu menghadapi kemungkinan terkandas kerana kini sudah "terlalu lambat untuk keluar", dengan agensinya memberi amaran "tidak mungkin" dapat memberi bantuan kepada semua pengunjung di kawasan itu.

Australia Selatan yang berdekatan juga mengalami keadaan kebakaran "bencana" dengan ribut petir "kering" - yang menghasilkan guruh dan kilat tetapi tiada hujan - menyebabkan beberapa kebakaran termasuk kebakaran tahap kecemasan di Pulau Kangaroo.

Keadaan juga dijangka semakin teruk di New South Wales di mana 100 kebakaran marak pagi semalam termasuk lebih 40 yang tidak terkawal.

Sydney dan bandar utama lain telah diselubungi jerebu toksik selama beberapa minggu, memaksa kanak-kanak bermain di dalam rumah dan menyebabkan acara sukan profesional dibatalkan.

Ibu kota Canberra telah membatalkan paparan bunga api Tahun Barunya disebabkan oleh larangan api menyeluruh di Wilayah Ibu Kota Australia, sementara beberapa bandar serantau juga telah mengikutinya.

Satu petisyen untuk membatalkan bunga api Malam Tahun Baru yang terkenal di Sydney dan menggunakan wang AUD6.5 juta ($6.13 juta) itu untuk melawan kebakaran belukar di bandar itu telah menerima 270,000 tandatangan, tetapi pegawai berkata persembahan itu akan diteruskan.

Krisis ini telah menumpukan perhatian terhadap perubahan iklim - yang menurut saintis menyebabkan musim kebakaran belukar yang lebih lama dan lebih teruk - dan mencetus protes jalanan yang menuntut tindakan segera untuk menangani pemanasan global.

Sedang Perdana Menteri konservatif Scott Morrison mengakui kaitan antara kebakaran dan perubahan iklim, beliau telah meneruskan sokongan kuatnya bagi industri perlombongan arang Australia yang menguntungkan dan menolak tindakan lanjut untuk mengurangkan pengeluaran. - AFP

Galeri Foto