MELBOURNE - Pemandu yang merempuh para pembeli sempena perayaan Krismas di sebuah jalan yang sibuk di bandar Melbourne, Australia, dituduh pada Sabtu (23 Disember) dengan 18 pertuduhan membunuh.
Kejadian pada Khamis merupakan serangan serius kedua di bandar kedua terbesar di Australia tahun ini.
Polis berkata mereka telah menuduh lelaki itu, bekas pelarian Afghanistan Saeed Noori, selepas menjalankan interviu mengenai serangan itu. Polis sebelum ini menyifatkannya sebagai "perbuatan sengaja".
Polis berkata Noori, 32 tahun, diketahui mempunyai masalah mental dan mengambil dadah dan mereka percaya serangan itu tiada kaitan dengan pengganasan.
Noori dipercayai memandu kereta jenis SUV putih ketika dia sengaja memecut dan merempuh para pejalan kaki yang menyeberang jalan di salah satu persimpangan tersibuk di daerah pusat perniagaan Melbourne.
Noori dijangka hadir di Mahkamah Majistret pada hari Sabtu.
Militan Islam beberapa kali menggunakan kenderaan menyerang orang ramai di Eropah dan Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan.
Pada Januari, enam orang terbunuh di daerah pusat perniagaan Melbourne apabila seorang lelaki melanggar mereka. Polis juga menolak kaitan pengganasan dalam serangan itu.
Ekoran insiden itu, pihak berkuasa memasang 140 bolard konkrit di pusat bandar.
Perdana Menteri Victoria Daniel Andrews berkata 12 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.
Beliau berkata kehadiran polis akan dipertingkat di acara-acara di Melbourne. - Reuters