Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KEMELUT POLITIK DI MYANMAR

Pembantah teruskan demo, ingkar perintah tentera Myanmar

Polis tembak meriam air, tangkap 20 penunjuk perasaan
Feb 10, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa pihak tentera Myanmar tidak menghiraukan larangan mengadakan perhimpunan besar untuk meneruskan demonstrasi terbesar dalam lebih satu dekad semalam.



Mereka berdepan dengan polis yang menembak meriam air dan menangkap lebih 20 orang.



Rampasan kuasa dan penahanan pemimpin awam terpilih Cik Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu telah membawa kepada tunjuk perasaan selama tiga hari di seluruh negara itu.



Satu gerakan ketidakpatuhan sivil juga semakin meningkat, menjejas hospital, sekolah dan pejabat kerajaan.



Polis Myanmar melepaskan tembakan meriam air ke arah penunjuk perasaan di ibu kota Naypyitaw untuk hari kedua, sedang orang ramai enggan bersurai, menurut satu video yang disiarkan di Facebook.



"Akhiri kuasa diktator tentera," teriak orang ramai ketika meriam air ditembakkan.



Video di Bago, di timur laut pusat perdagangan Yangon, juga menunjukkan polis menembak meriam air dan berdepan dengan orang ramai.



Penduduk berkata jambatan yang menghubungkan pusat bandar Yangon ke kawasan berdekatan yang ramai penduduk ditutup pada awal hari Selasa, sebelum dibuka kepada beberapa kenderaan.



"Rampasan kuasa selalu ada dalam fikiran kami, setiap kali kami makan, bekerja dan juga semasa waktu rehat," kata penduduk Yangon, Khin Min Soe.



"Kami sangat kecewa dan sedih setiap kali kami memikirkan mengapa ini menimpa kami lagi."



Polis menahan sekurang-kurangnya 27 penunjuk perasaan di bandar terbesar kedua di Mandalay, termasuk seorang wartawan, kata pertubuhan media tempatan.



Di bandar San Chaung - yang mana perhimpunan besar dilarang secara khususnya - berpuluhan guru berbaris di jalan utama, sambil melambaikan tiga jari yang menjadi tanda penunjuk perasaan.



"Kami tidak bimbang dengan amaran mereka. Itulah sebabnya kami keluar hari ini. Kami tidak dapat menerima alasan penipuan undian. Kami tidak mahu ada pemerintahan diktator tentera," kata guru Thein Win Soe kepada AFP.



Kawasan perkampungan Kamayut berdekatan - satu lagu kawasan di mana perhimpunan dilarang - mempunyai ratusan penunjuk perasaan yang menentang, menyanyikan lagu dan melambaikan poster.



Ikrar oleh pemimpin junta Jeneral Min Aung Hlaing untuk mengadakan pilihan raya baru dalam ucapan pertamanya sejak merebut kuasa telah dikritik.



Beliau mengulangi tuduhan penipuan dalam pilihan raya November lalu, yang dimenang oleh Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), parti Cik Suu Kyi dengan majoriti besar.



"Kami akan terus berjuang," kata aktivis muda Maung Saungkha, dalam satu kenyataan, sambil menyeru pembebasan tahanan politik dan "kejatuhan sepenuhnya kuasa diktator" serta penghapusan perlembagaan yang memberi tentera kuasa veto di Parlimen, serta menggesa kuasa federal di Myanmar yang mempunyai pelbagai kaum.



Generasi aktivis lebih tua yang dibentuk semasa tunjuk perasaan yang berdarah pada tahun 1988 menggesa untuk pekerja pemerintah untuk meneruskan tindakan mogok selama tiga minggu lagi.



"Kami juga meminta penunjuk perasaan di seluruh negara untuk bersatu dan saling membantu secara sistematik," kata Encik Min Ko Naing, dalam satu kenyataan bagi pihak kumpulan Generasi 88.



Setelah puluhan ribu orang menunjuk perasaan di serata Myanmar, perintah tempatan yang melarang perhimpunan lebih empat orang dikenakan.



Kedutaan Amerika Syarikat berkata pihaknya menerima laporan mengenai sekatan dari 8 malam hingga 4 pagi waktu tempatan di dua bandar terbesar, Yangon dan Mandalay.



Jambatan yang menghubungkan pusat bandar Yangon ke kawasan luar yang ramai penduduk ditutup pada hari Selasa, kata penduduk.



Menyusuli rampasan kuasa itu, New Zealand semalam mengumumkan penggantungan hubungan ketenteraan dan politik peringkat tinggi dengan Myanmar.



Mendedahkan langkah tersebut, Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern meminta masyarakat antarabangsa supaya "mengutuk keras" ke atas apa yang berlaku di Myanmar.



"Setelah bertahun-tahun bekerja keras untuk membangun demokrasi di Myanmar, saya fikir setiap warga New Zealand akan kecewa melihat apa yang telah kita lihat dalam beberapa hari terakhir angkara tentera," katanya kepada wartawan.



Cik Ardern menambah, langkah itu termasuk larangan perjalanan ke atas pemimpin tentera kanan.



New Zealand juga mahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengadakan sesi khas untuk membincangkan perkembangan di Myanmar.



Beliau menambah bahawa program bantuan New Zealand di Myanmar, bernilai kira-kira NZ$42 juta ($40.42 juta), akan dikenakan kawalan agar bantuan itu tidak dimanfaatkan tentera atau badan di bawah kawalan tentera.



Menteri Luar New Zealand Cik Nanaia Mahuta dalam satu kenyataan pula berkata: "Kami tidak mengiktiraf pemerintah yang dipimpin tentera dan kami meminta tentera supaya segera membebaskan semua pemimpin politik yang ditahan dan memulihkan pemerintahan awam." - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >