DAMSYIK: Selepas lebih satu dekad mempertahankan kedudukannya dengan sokongan tentera Iran dan Russia, pemerintahan Presiden Bashar al-Assad tumbang dalam masa singkat selepas serangan pemberontak ke atas ibu kota Damsyik.
Pada Ahad malam, 8 Disember, media Russia melaporkan Encik Assad dan keluarganya telah tiba di Russia untuk mendapatkan suaka politik. Walaupun maklumat itu belum disahkan sepenuhnya, sumber rasmi Russia mengesahkan bahawa Encik Assad telah menyerahkan kuasa secara aman sebelum meninggalkan Syria.
Serangan kilat oleh kumpulan pemberontak yang diterajui oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) bermula pada akhir November.
Kumpulan itu, dengan sokongan terselindung dari Turkey, berjaya merampas Aleppo, Hama dan Homs sebelum mara ke Damsyik.
“Revolusi kini dalam keadaan teratur, bukan lagi kacau-bilau,” kata Encik Abu Mohammed al-Jolani, komander HTS, dalam wawancara televisyen sebelum ini.
Dalam salah satu titik perubahan terbesar di Asia Barat dalam beberapa generasi, kejatuhan pemerintah Encik Assad menamatkan sebuah kubu yang digunakan oleh Iran dan Russia untuk mempengaruhi seluruh dunia Arab.
Menurut Encik Ibrahim Hamidi, Ketua Pengarang Al Majalla, moral rendah dan kelemahan logistik tentera Encik Assad menjadi punca utama kejatuhan rejim tersebut.
“Tentera Syria tidak lagi memiliki sokongan kuat daripada Hezbollah dan Iran, manakala serangan udara Russia semakin berkurangan,” jelasnya.
Kejatuhan mendadak Encik Assad, hasil daripada pemberontakan yang sebahagiannya disokong oleh Turkey dan berakar umbi dalam Islam Sunni Jihad, mengehadkan kemampuan Iran untuk menyebarkan senjata kepada sekutunya dan boleh menggugat pangkalan tentera laut Russia di Laut Mediterranean.
Kejatuhan rejim Encik Assad menandakan perubahan besar dalam geopolitik rantau ini.
Konflik yang melibatkan Iran, Hezbollah, dan perang Ukraine telah melemahkan sekutu-sekutu Assad, menjadikan serangan pemberontak sukar ditangkis.
Pakar Timur Tengah, Cik Mona Yacoubian, berkata, “Apa yang kita saksikan ialah kekosongan struktur pemerintah Syria yang tidak lagi mampu bertahan.”
Russia, yang sebelum ini menggunakan Syria sebagai landasan geopolitiknya di Timur Tengah, menghadapi cabaran besar.
“Ini adalah tamparan hebat buat Vladimir Putin (Presiden Russia),” tambah Encik Hamidi.
Rakyat Syria yang lama tertindas kini menghela nafas lega, tetapi perjalanan untuk membina semula negara itu amat mencabar.
Bandar-bandar musnah, ekonomi lumpuh, dan landskap politik yang tidak menentu menjadi penghalang utama.
“Ini kali pertama dalam hidup saya berasa bebas,” kata Cik Walaa Salameh, ibu kepada dua anak kecil di Damsyik.
Namun, beliau mengakui kebimbangan terhadap masa depan di bawah pemerintah yang baru.
Pemerintahan baru yang bakal muncul masih belum jelas hala tujunya. Dengan gabungan pelbagai kumpulan pemberontak, proses pembentukan pentadbiran baru dijangka mencabar.
Bagi Amerika Syarikat dan negara-negara lain, kejatuhan rejim Assad memerlukan mereka menilai semula strategi masing-masing terhadap Syria.
“Washington perlu menentukan matlamat utama mereka di Syria,” kata Encik Robert S. Ford, mantan Duta Amerika ke Syria.
Negara polis Assad – yang dikenali sejak bapanya merampas kuasa pada 1960-an sebagai salah satu yang paling keras di Timur Tengah dengan ratusan ribu tahanan politik – runtuh dalam tempoh semalaman.
Walaupun cabaran besar menanti, kejayaan pemberontak memberi sinar harapan kepada rakyat Syria untuk keluar daripada cengkaman pemerintahan autokratik selama lebih lima dekad.
Orang ramai dilihat berjalan di dalam Istana Presiden Al-Rawda, dengan beberapa orang keluar membawa perabot. Sebuah motosikal diletakkan di atas lantai parket di sebuah dewan berlapis emas.
Gabungan pemberontak Syria berkata mereka sedang berusaha melengkapkan pemindahan kuasa kepada sebuah badan pemerintahan sementara dengan kuasa eksekutif. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg