DHAKA: Pemerintah Bangladesh hari ini telah menjalankan hukuman gantung ke atas seorang bekas pegawai tentera yang didapati bersalah membunuh tokoh kemerdekaan negara itu pada 1975.
Tertuduh, Abdul Majed, 70 tahun, telah menjalani hukuman di ibu kota Dhaka selepas rayuannya kepada presiden ditolak minggu ini.
Dia ditangkap Selasa lalu sebaik pulang ke Bangladesh, selepas melarikan diri selama 25 tahun, menyusuli pembunuhan Sheikh Mujibur Rahman.
Allahyarham Sheikh Mujibur - bapa kepada perdana menteri ke-10 Bangladesh sekarang, Sheikh Hasina Wazed - telah dibunuh pada usia 55 tahun dalam satu percubaan rampasan kuasa pada 15 Ogos 1975, dengan kebanyakan ahli keluarganya.
Kematiannya berlaku hanya empat tahun selepas Bangladesh mencapai kemerdekaan dari Pakistan.
Majed terus bersembunyi di dalam negaranya tetapi dipercayai telah melarikan diri ke India pada 1996 apabila Sheikh Hasina dipilih sebagai perdana menteri.
Pemerintah beliau meminda undang-undang yang melindungi pembunuh bapanya dari menghadapi pendakwaan, dan pada 1998, Majed dan sedosen pegawai tentera telah dijatuhkan hukuman mati.
Mahkamah Agung Bangladesh mengekalkan hukuman itu pada 2009 dan lima dari pembunuhnya telah menjalani hukuman mati tidak lama kemudian.
Majed telah diberkas semasa pulang ke Bangladesh bulan lalu. - Agensi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg