JAKARTA: Sejurus sahaja memegang tampuk pemerintahan, Presiden Prabowo Subianto, dan anggota pentadbirannya membuka akaun Instagram baru untuk menonjolkan hasil kerja pemerintah kepada umum.
Presiden yang dilantik baru-baru ini, yang sudah mempunyai akaun Instagram dengan nama @prabowo, kini mempunyai akaun lain di bawah @presidenrepublikindonesia yang diuruskan oleh Pejabat Perhubungan Presiden yang baru ditubuhkan, yang juga mempunyai akaun sendiri @pco.ri.
Akaun presiden telah mempunyai lebih 1.7 juta pengikut pada 5 November dan memperoleh lencana pengesahan Instagram berwarna biru.
Ketua Pejabat Perhubungan Presiden, Encik Hasan Nasbi, berkata akaun itu akan memaparkan kegiatan Presiden Prabowo, memisahkan institusi presiden daripada tokoh peribadi yang mengisi jawatan itu.
“Sesiapa yang menjadi presiden nanti juga akan menggunakan akaun (Presiden) ini,” kata Encik Hasan yang menyamakannya dengan laman Instagram POTUS yang merujuk pada istilah ‘President of the United States’.
Satu lagi akaun baru, @republikindonesia, yang disahkan dan diuruskan oleh Pejabat Perhubungan Presiden, turut muncul, seolah-olah mewakili negara.
Encik Hasan menjelaskan mereka turut berhasrat menggunakan akaun itu, tanpa menjelaskan lebih lanjut.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kedua Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Cik Stella Christie, turut membuka akaun Instagram baru yang didedahkannya pada penghujung Oktober.
“Saya tidak biasa menggunakan media sosial, tetapi saya telah digesa supaya berbuat demikian, mungkin untuk menunjukkan perpaduan dengan berinteraksi dan mendengar kebimbangan rakyat,” kata Cik Stella, di Sidang Puncak Milenium dan Gen-Z Indonesia (IMGS) pada 22 Oktober.
Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Encik Budi Gunawan, turut membuka Instagram rasmi baru selain akaun menteri yang sudah dimilikinya.
Pensyarah komunikasi politik, Cik Nani Nurani Muksin, dari Universiti Muhammadiyah Jakarta menganggap kemunculan akaun baru itu “menarik” kerana ia menunjukkan pemerintah “secara rasmi mengakui kuasa media sosial” untuk menyampaikan maklumat dan mempengaruhi orang ramai.
“Akaun itu jelas bertujuan membentuk imej pemerintah yang baik dan positif dalam kalangan pengguna media sosial,” katanya.
Reuters sebelum ini melaporkan bahawa generasi muda, termasuk di Indonesia, kebanyakannya memanfaatkan berita melalui wadah media sosial seperti TikTok. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg