BAGHDAD: Orang yang mengaku menjadi khalifah Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), Abu Bakr al-Baghdadi, dipercayai sedang bersembunyi di Mosul, yang sedang diserang Iraq untuk menawannya semula daripada kumpulan pengganas itu, menurut satu pegawai kanan Kurdi.
"Baghdadi ada di situ (Mosul) dan, jika dia dibunuh, ia bermakna keruntuhan keseluruhan sistem (ISIS)," kata Encik Fuad Hussein, ketua kakitangan Presiden Kurdi, Encik Massoud Barzani, kepada akhbar The Independent.
Baghdadi merahsiakan tempat dia berada sejak lapan atau sembilan bulan lalu, menurut Encik Fuad.
Jika dia dibunuh, ISIS perlu memilih seorang pemimpin baru di tengah-tengah pertempuran itu dan penggantinya mungkin tidak akan mempunyai kuasa atau martabat seperti Baghdadi, yang mengejutkan dunia dengan mengisytiharkan pemerintahan khalifah kumpulan pengganas itu selepas menawan Mosul pada Jun 2014.
Dengan Baghdadi mengekalkan profil rendah, ISIS bergantung pada komander dari Mosul dan Tal Afar - sebuah bandar di barat Mosul - menurut Encik Hussein.
Ia juga mengalami hambatan apabila tokoh-tokohnya yang lebih kanan dan dikenali terbunuh selepas kejayaan awalnya di utara Iraq dan timur Syria pada 2014.
Kehadiran Baghdadi di Mosul boleh merumitkan dan memanjangkan pertempuran bagi merampas semula bandar itu, kerana pengikutnya mungkin berjuang hingga mati demi membelanya, lapor The Independent.
"Jelas bahawa mereka akan kalah, tetapi sekarang berapa lama ini akan berlaku," kata Encik Hussein.