Pendatang kanak-kanak ke AS akan ditahan buat tempoh lebih panjang

WASHINGTON - PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu (21 Ogos) melancarkan satu peraturan yang membenarkan pegawai menahan keluarga pendatang buat masa yang tidak terhad, sementara hakim mempertimbangkan sama ada mereka wajar diberi suaka di Amerika Syarikat (AS).

Peraturan baru ini justeru menghapuskan had 20 hari dalam tahanan, yang dijalankan sebelum ini, bagi setiap pendatang ke negara itu.

Peraturan baru ini, yang dijangka akan dicabar undang-undang, akan menggantikan penyelesaian mahkamah pada 1997 yang meletakkan batas berkaitan jumlah masa penguasa imigresen AS dapat menahan kanak-kanak pendatang. 

Persetujuan pada 1997 itu ditafsirkan secara umum untuk bermaksud keluarga pendatang mesti dibebaskan dalam tempoh 20 hari.

Perubahan ini adalah perubahan peraturan utama ketiga oleh pentadbiran Presiden Trump untuk menyekat kadar imigrasi ke AS dalam masa kurang dari satu bulan.

Di bawah pentadbiran Presiden Trump, beliau telah meletakkan usaha membanteras imigrasi secara sah dan haram sebagai asas kempennya pada 2016, di mana beliau telah berjanji akan mendapatkan Mexico untuk menampung kos pembayaran dinding sempadan antara kededua negara itu, yang akan menghalang pendatang asing daripada memasuki AS. 

Janji itu masih belum ditepati.

Pada Rabu, Presiden Trump memberitahu wartawan bahawa pentadbirannya sedang mempertikaikan dengan serius saranan untuk menghentikan tawaran kewarganegaraan AS bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan yang bukan kelahiran AS.

Pejabat imigresen AS sedang bergelut dalam usaha mengawal jumlah keluarga yang ramai yang telah melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan di Amerika Tengah. 

Pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) berkata mereka telah menangkap sebanyak 390,000 keluarga sejak Oktober lepas.

Pada 15 Julai, pentadbiran AS mengeluarkan satu peraturan yang menghalang hampir semua pendatang daripada memohon suaka di sempadan selatan. 

Pada 12 Ogos, ia mengumumkan peraturan yang membenarkan visa dan tawaran penduduk tetap kepada pendatang yang bergaji tinggi sahaja. -Agensi Berita.