SYDNEY: Pemindahan besar-besaran diarahkan di kawasan dataran rendah di sepanjang pantai timur Australia semalam ekoran hujan lebat yang menyebabkan banjir, kata polis.
Hujan lebat itu berpotensi 'mengancam nyawa' di wilayah yang sudah mengalami banjir luar biasa ketika musim panas.
Polis berkata beratus-ratus orang berpusu-pusu ke pusat pemindahan di kawasan utara Sydney, di negeri New South Wales dan mereka mengharapkan lebih ramai lagi berlindung ketika hujan membanjiri kawasan selatan pantai.
Biro Meteorologi melaporkan tahap banjir melebihi rekod banjir 2013 di sepanjang Sungai Hastings di luar Port Macquarie, kira-kira 400 kilometer di utara Sydney.
Bandar di daerah itu merekodkan hujan melebihi 300 milimeter sejak pagi semalam, kata biro itu.
Ia memperingatkan bahawa hujan lebat yang dijangka berlanjutan hingga hari ini 'berpotensi menyebabkan banjir kilat yang mengancam nyawa'. - Agensi berita.