Buat pertama kali dalam hidupnya, Cik Salmah Kassim, wanita asal Malaysia yang tinggal di New Zealand, melakukan solat jenazah bagi 10 jenazah serentak.
Jenazah itu adalah antara 50 mangsa pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu.
Dalam kirimannya di Facebook semalam (21 Mac), beliau mengongsi pengalaman dalam hari-hari menyusuli kejadian itu, khususnya sokongan yang ditunjukkan warga New Zealand kepada orang Islam.
Antaranya, kereta berhenti untuk membolehkannya melintas jalan raya dengan mudah.
Beberapa pemandu melambaikan tangan dan ada yang meletakkan tangan pada dada mereka.
Di tanah perkuburan Memorial Park Cemetery, beliau disambut oleh relawan wanita yang berhijab, dan relawan lelaki yang meletakkan tangan di dada sambil mengucapkan "Salam alaykum".
"Malah pegawai polis wanita memakai hijab dan bukan topi polis mereka. Hampir semua pelawat wanita memakai hijab...," tulisnya dalam kiriman yang dimuat naik semalam (21 Mac).
Kami sertakan pautan ke kiriman penuhnya di bawah.