JUTAAN pengundi muda Malaysia bakal berpeluang mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) setelah diluluskan pindaan Perlembagaan pada 2019 yang menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Dianggarkan kumpulan pengundi muda ini - berumur 25 tahun ke bawah - membentuk kira-kira satu perlima daripada anggaran 21 juta pengundi di Malaysia.
Ada pihak menganggap golongan itu boleh menjadi 'penentu' dalam menentukan gabungan parti mana yang akan menang dan menjadi parti kerajaan Malaysia akan datang.
Namun, sedang pengamat menyatakan pengundi muda adalah penting, agak sukar untuk menyatakan mereka sebagai golongan 'penentu'.
Di pilihan raya negeri Johor contohnya, di kalangan pengundi Muslim muda kali pertama mengundi, hanya separuh berbuat demikian.
Dalam satu tinjauan terbaru Merdeka Centre membabitkan 1,216 responden, hanya 40 peratus berkata mereka minat mahu mengundi; dengan 40 peratus lagi berkata mereka mungkin mengundi dalam PRU15.
Profesor Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah, berkata pilihan raya Johor telah menunjukkan kadar pengundian pengundi muda tidak memberangsangkan.
"Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) sendiri cuba menggambarkan mereka sebagai pilihan 'pengundi kali pertama' tetapi akhirnya apabila keputusan keluar, ia menunjukkan pengundi muda agak kurang minat pada politik," katanya kepada Berita Harian (BH).
Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata golongan pengundi muda bukan satu blok kumpulan yang sama.
Ada menetap di bandar, ada di luar bandar, dengan latar belakang dan pendidikan berbeza.
"Tidak semestinya mereka propembangkang seperti yang ramai jangkakan. Ini kali pertama mereka mengundi dan kita masih belum tahu sentimen mereka," ujarnya.
Zamil kanan di Institut Iseas-Yusof Ishak, Dr Francis Hutchinson, pula berkata ramai pengundi baru itu tinggal di kawasan bandar dan separa bandar, yang bermakna mereka kurang terkait dengan model kempen akar umbi tradisional.
"Pilihan raya kali ini mungkin ditandingi tiga gabungan besar, selain parti politik lebih kecil.
"Ini bermakna majoriti kemenangan akan menjadi lebih kecil berbanding PRU sebelumnya dan undi individu adalah lebih penting.
"Dalam konteks ini, undi belia akan menjadi lebih penting kerana mereka boleh mempengaruhi kemenangan undi bagi satu pihak atau pihak lawan yang lain," jelasnya.
Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, dari Universiti Sains Malaysia, berkata pengundian pengundi muda dalam PRU15 bukan suatu yang dapat dijangkakan.
"Di banyak negara maju, umum menganggap pengundi belia mempunyai kecenderungan untuk bersikap antigolongan berkuasa tetapi senario politik Malaysia sejak 2020 sendiri sudah bercampur-baur antara siapa yang mengepalai kerajaan dan siapa pula antigolongan berkuasa.
"Ini kerana semua parti besar di Malaysia sejak PRU14 sudah merasai menjadi sebahagian kerajaan.
"Mungkin, pengundi muda akan bersikap tunggu dan lihat dan tidak keluar undi; mereka akan merasa, masih banyak masa bagi mereka.
"Atau mungkin juga mereka akan mengundi mengikut pola undi ibu bapa mereka, kerana itulah rujukan utama mereka terutama bagi yang belum berkahwin," katanya.
Selain itu, Profesor Fauzi berkata rata-rata parti arus perdana berasa tergugat dengan kemunculan parti Muda dalam merebut undi belia.
"Rasa tergugat ini mungkin akan mendesak PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) untuk lebih kreatif dan inovatif dalam memenangi undi pengundi muda," jelasnya.
Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata pengundi muda akan menjadi bank undi penting bagi parti politik, tetapi seperti mana-mana kumpulan demografi lain, mereka adalah kumpulan yang pelbagai.
"Kita boleh jangka semua parti politik bersungguh-sungguh menambat hati pengundi muda.
"Tetapi adalah 'bodoh' bagi mana-mana parti politik untuk memberi tumpuan kepada pengundi muda sahaja. Gabungan parti yang mempunyai daya tarikan lebih luas dan lebih sederhana dijangka menunjukkan pencapaian lebih baik," katanya.
Mengenai strategi utama yang boleh digunakan parti politik untuk mendekati pengundi muda, Dr Hutchinson berkata pendekatan penting dalam sebarang kempen adalah mengenal pasti isu yang dianggap penting bagi golongan yang disasar.
"Pengundi muda terjejas oleh Covid-19, melalui gangguan peluang pekerjaan dan pendidikan.
"Mereka juga terjejas dengan tahap pengangguran lebih tinggi berbanding golongan penduduk lain dan sangat terdedah kepada tahap inflasi lebih tinggi. Jadi isu itu akan menjadi tarikan utama pengundi muda," jelasnya.
Mengenai peluang BN untuk menang PRU15 pula, Dr Norshahril berkata keputusan pilihan raya kali ini masih sukar ditentukan.
"Pilihan raya negeri Johor dan Melaka tidak memberi gambaran jelas. Ini selain beberapa faktor yang harus diambil kira seperti isu musim tengkujuh yang akan datang, kes Najib Razak, rancangan ekonomi pasca-Covid-19.
"Prestasi BN juga bergantung kepada keupayaan pembangkang bersatu atau tidak," jelas beliau.
"Tidak semestinya mereka propembangkang seperti yang ramai jangkakan. Ini kali pertama mereka mengundi dan kita masih belum tahu sentimen mereka."
- Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak.
"Mungkin, pengundi muda akan bersikap tunggu dan lihat dan tidak keluar undi; mereka akan merasa, masih banyak masa bagi mereka. Atau mungkin juga mereka akan mengundi mengikut pola undi ibu bapa mereka, kerana itulah rujukan utama mereka terutama bagi yang belum berkahwin."
- Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia.
"Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) sendiri cuba menggambarkan mereka sebagai pilihan 'pengundi kali pertama' tetapi akhirnya apabila keputusan keluar, ia menunjukkan pengundi muda agak kurang minat pada politik."
- Profesor Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah.
"Pengundi muda terjejas oleh Covid-19, melalui gangguan peluang pekerjaan dan pendidikan. Mereka juga terjejas dengan tahap pengangguran lebih tinggi berbanding golongan penduduk lain dan sangat terdedah kepada tahap inflasi lebih tinggi. Jadi isu itu akan menjadi tarikan utama pengundi muda."
- Dr Francis Hutchinson, Zamil kanan di Institut Iseas-Yusof Ishak.