WASHINGTON: Bank Silicon Valley (SVB) menjadi bank terbesar yang gagal sejak krisis kewangan sejagat 2008 hingga mencetuskan panik dalam pasaran ekuiti global Jumaat dan turut mengheret saham-saham berkaitan perbankan.

Pengawal selia kewangan California telah mengarahkan bank itu ditutup dan melantik Perbadanan Insurans Deposit Federal (FDIC) sebagai penerima rasmi bagi pelupusan asetnya kemudian.

Pihak berkuasa Amerika merampas aset SVB, iaitu pemiutang utama kepada syarikat-syarikat pemula teknologi AS sejak 1980-an, selepas jumlah deposit yang banyak dikeluarkan menjadikan bank bersaiz sederhana itu runtuh dan tidak lagi dapat bertahan.

Berpangkalan di Santa Clara, syarikat peminjam itu merupakan bank ke-16 terbesar di Amerika Syarikat, dengan aset mencecah AS$209 ($281.90) bilion.

Krisis ini bermula selepas syarikat pemula teknologi itu melancarkan jualan saham AS$2.25 bilion untuk menyokong kewangannya.

Ini bagi menutup kerugian AS$1.8 bilion yang dialami selepas menjual AS$21 bilion bon daripada portfolionya.

Kesan daripada kadar faedah AS yang tinggi, bon yang dimiliki oleh SVB hanya menghasilkan pulangan purata 1.79 peratus sahaja, jauh di bawah perbendaharaan 10 tahun semasa yang berada pada kadar 3.9 peratus.

Tindakan tersebut mencetuskan panik di kalangan pendeposit sehingga mendorong pengeluaran besar-besaran deposit daripada bank itu.

Pejabat utama dan semua cawangan Bank Silicon Valley akan dibuka semula pada 13 Mac dan semua pendeposit yang diinsuranskan akan mempunyai akses penuh kepada deposit yang diinsuranskan mereka selewat-lewatnya pagi Isnin, kata FDIC.

Namun 89 peratus daripada AS$175 bilion deposit dalam SVB tidak diinsuranskan pada penghujung 2022, menurut FDIC, dan nasib mereka masih belum ditentukan lagi.

FDIC kini sedang berusaha mencari bank lain pada hujung minggu ini yang bersedia bergabung dengan SVB.

Syarikat-syarikat seperti pembuat permainan video, Roblox Corp dan pembuat peranti penstriman, Roku Inc berkata mereka mempunyai ratusan juta dolar dalam deposit di bank itu. - Reuters.