Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pengunjung Bali tidak hadapi risiko babit undang-undang seks terkini: Gabenor

Dec 14, 2022 | 05:30 AM



JAKARTA: Pelawat ke Bali tidak akan menghadapi risiko dengan kanun jenayah Indonesia yang baru disahkan, kata gabenor pulau itu, sekali gus menolak kebimbangan undang-undang yang disemak termasuk menjenayahkan seks di luar perkahwinan boleh menyebabkan pelancong menjauhi pulau peranginan tersebut.



Baru-baru ini, Parlimen Indonesia telah meluluskan Rang Undang Undang kontroversi yang turut melarang amalan hidup bersekedudukan antara pasangan belum berkahwin.



Dalam usaha meyakinkan pengunjung, Gabenor Bali, Encik I Wayan Koster, dalam satu kenyataan menyatakan, undang-undang baru itu, yang akan berkuat kuasa tiga tahun lagi, hanya boleh mendakwa jika terdapat aduan oleh ibu bapa, pasangan atau anak pelaku.



Mereka yang "berkunjung atau tinggal di Bali tidak perlu bimbang dengan Kanun Jenayah Indonesia yang akan dikuatkuasakan itu," katanya.



Gabenor itu berkata, peruntukan dalam Kanun Jenayah mengenai isu tersebut, telah diubah daripada ayat yang lebih ketat awalnya dan "akan memberikan jaminan privasi dan keselesaan yang lebih baik bagi setiap orang".



Pemerintah Bali akan memastikan "tiada pemeriksaan status perkahwinan semasa mahu masuk ke sebarang penginapan pelancongan, seperti di hotel, vila, apartmen, rumah tumpangan, rumah persinggahan dan spa,' kata Encik Koster.



Encik Koster juga turut menafikan apa yang dikatakannya sebagai "penipuan" tentang laporan kononnya berlaku pembatalan tempahan penerbangan dan hotel.



Malah beliau menambah, maklumat dari ejen pelancongan, pengendali penginapan, serta syarikat penerbangan menunjukkan, bilangan pengunjung yang sudah mendaftar untuk melawat Bali dari Disember tahun ini hingga Mac 2023 telah meningkat.



Bali adalah pusat pelancongan di Indonesia dan persatuan pelancongan menyasarkan bilangan pengunjung asing ke pulau yang sebahagian besar penduduknya penganut Hindu itu, akan mencapai angka seperti sebelum pandemik dulu, iaitu pada enam juta setahun, menjelang 2025.



Para penggubal undang-undang menerima baik perkembangan kanun jenayah itu yang memang perlu diperbaiki yang sedia ada sejak zaman penjajahan Belanda.



Para pegawai berkata, ia bertujuan mengangkat "nilai-nilai Indonesia" di negara yang paling ramai penduduk beragama Islam di dunia.



Tetapi Encik Mr Maulana Yusran, timbalan ketua lembaga industri pelancongan Indonesia, berkata minggu lalu bahawa undang-undang yang baru itu "sama sekali tidak produktif," sedang ekonomi dan pelancongan baru mula pulih selepas pandemik.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan kekhuatiran tentang ancaman terhadap kebebasan sivil dengan adanya kanun jenayah itu.



Kanun tersebut juga meliputi undang-undang yang menyebut, adalah menjadi kesalahan bagi menghina presiden, bendera dan perlembagaan negara. - Reuters.




Mereka yang "berkunjung atau tinggal di Bali tidak perlu bimbang dengan Kanun Jenayah Indonesia yang akan dikuatkuasakan itu... peruntukan dalam Kanun Jenayah mengenai isu tersebut, telah diubah daripada ayat yang lebih ketat awalnya dan "akan memberikan jaminan privasi dan keselesaan yang lebih baik bagi setiap orang".




UNDANG-UNDANG BARU INDONESIA



  • Apakah peraturan baru mengenai seks di luar perkahwinan?

Sesiapa yang melakukan hubungan seks di luar perkahwinan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda.



Sesiapa yang bersekedudukan seperti suami isteri di luar perkahwinan, boleh dipenjara selama enam bulan.



Dalam kedua-dua kes, polis boleh mendakwa seseorang, hanya berdasarkan aduan rasmi yang dibuat oleh ibu bapa, anak atau pasangan si pelaku.



  • Adakah undang-undang baru ini mengharamkan pelacuran?

Kanun ini tidak menyebut secara khusus tentang palacuran, tetapi melarang hubungan seks di luar perkahwinan bererti mengharamkan pelacuran.



  • Bagaimana pula dengan hubungan LGBTQ?

Kanun itu menjenayahkan hubungan LGBTQ. Pemerintah tidak mengiktiraf perkahwinan sesama jenis. Maka sebarang kegiatan antara sesama jenis disifatkan sebagai di luar perkahwinan.



  • Bila kanun jenayah baru ini akan berkuat kuasa?

Dalam masa tiga tahun lagi ia akan berkuat kuasa sepenuhnya, kerana pemerintah harus menyiapkan peraturan-peraturan pelaksanaannya.



Sekarang, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang tersebut. Langkah selanjutnya adalah bagi Presiden Joko Widodo - untuk menandatanganinya.



Beliau dijangka akan meluluskannya.



  • Setegas mana undang-undang baru ini akan dikuatkuasakan?

Belum jelas, sama ada pasangan pelawat ke Indonesia dan tinggal di hotel akan diselidiki dan didenda.



Timbalan Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Edward Omar Sharif Hiariej, berkata pihak berkuasa akan bertindak hanya jika ada aduan, dan serbuan tidak akan dilakukan.



Kanun jenayah ini mengiktiraf "undang-undang hidup" iaitu termasuk syariah, yang bermakna pemerintah tempatan di semua 34 wilayah, boleh menguatkuasakan sendiri undang-undang berdasarkan kanun jenayah ini.



  • Adakah undang-undang ini akan dikuatkuasakan di Bali?

Kanun jenayah ini akan diguna pakai di seluruh negara, termasuk Bali, tetapi masing-masing wilayah boleh menguatkuasakannya sendiri berdasarkan kanun itu.



Undang-undang baru ini akan mencetuskan tengkarah di pulau itu, memandangkan pulau tersebut banyak bergantung kepada industri pelancongan.



  • Apakah kesalahan lain di bawah kanun baru itu?

Warga asing boleh dikenakan denda atas kesalahan menghina presiden, naib presiden dan pemerintah.



Kanun ini juga akan mendenda mereka yang menggugurkan anak kecuali atas sebab-sebab perubatan kecemasan atau rogol.



  • Sejauh mana tentangan terhadap kanun ini?

Bantahan-bantahan kecil telah diadakan di ibu kota Jakarta.



Pertubuhan hak asasi sivil merancang mengajukan bantahan undang-undang kepada mahkamah perlembagaan.



Apabila Parlimen perkenalkan draf Rang Undang-undang itu pada 2019, tunjuk perasaan ganas meletus buat beberapa hari, mendorong Presiden Widodo menangguhkannya bagi mengumpulkan lebih banyak maklum balas daripada orang ramai. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >