Topic followed successfully
Go to BHkuPengunjung ke Saudi perlu daftar data imunisasi Covid-19 'online' sebelum berlepas
Pengunjung ke Saudi perlu daftar data imunisasi Covid-19 'online' sebelum berlepas
Pengunjung ke Saudi perlu daftar data imunisasi Covid-19 'online' sebelum berlepas
RIYADH: Pengunjung yang bercadang melawat Arab Saudi diwajibkan melengkapkan pendaftaran data imunisasi Covid-19 secara dalam talian sebelum terbang ke negara itu, menurut pekeliling dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (Gaca).
Gaca berkata, protokol itu akan memudahkan prosedur kemasukan dan mengurangkan masa menunggu di pintu masuk negara berkenaan.
Memetik laporan Arab News, pendaftaran dibuka kepada semua warga dari negara Majlis Kerjasama Teluk, pemegang visa baharu, penduduk sama ada bagi yang sudah mendapat vaksinasi atau belum divaksin.
Gaca berkata, langkah itu antara inisiatif Kerajaan Arab Saudi untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19, selain bagi memastikan keselamatan warganya dan penduduk di sana.
Pada bulan lalu, Arab Saudi membenarkan kemasukan pengembara dari 11 negara.
Ia merangkumi Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Amerika Syarikat (AS), Ireland, Italy, Portugal, United Kingdom (UK), Sweden, Switzerland, Perancis dan Jepun, dengan syarat mematuhi prosedur kuarantin ditetapkan sebaik tiba di negara itu.
Memetik laporan Saudi Press Agency (SPA), sumber rasmi Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu berdasarkan laporan pihak berkuasa kesihatan awam berhubung situasi epidemiologi di negara terbabit yang menunjukkan kestabilan dan keberkesanan dalam mengawal pandemik.
Pada Februari lalu, pihak berkuasa menyekat kemasukan pelancong dari negara berkenaan kecuali warga negara Arab Saudi, diplomat, profesional kesihatan dan ahli keluarga yang kembali dari negara berkenaan.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menyatakan semua pengunjung tanpa vaksin yang berasal dari negara yang tidak disekat kemasukan ke negara itu perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada langkah menghentikan penyebaran Covid-19.
Kementerian juga menetapkan wajib bagi semua pengunjung yang tidak menerima vaksin untuk menjalani kuarantin tujuh hari dan mempunyai insurans kesihatan bagi melindungi risiko jangkitan
Sementara itu, kes harian Covid-19 di Arab Saudi melepasi 1,300 kes sehari untuk pertama kali dalam tempoh tiga minggu dengan 1,309 jangkitan baru direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Serentak dengan itu, 14 lagi kematian turut dicatatkan berpunca daripada komplikasi akibat virus berkenaan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara itu meningkat kepada 470,723 kes dengan angka korban kini mencecah 7,635 kes.
Makkah mencatatkan kes tertinggi dengan 388 jangkitan baharu Covid-19, diikuti Riyadh dengan 265 kes, wilayah Timur (235) dan Asir (115).
Dalam perkembangan berkaitan, terdapat 10,879 kes aktif yang dikenal pasti dengan 1,533 daripadanya berada dalam keadaan kritikal. - Agensi berita.

