Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Dunia

KORONAVIRUS

Penularan di luar China kian membimbangkan

Namun, masih terlalu awal untuk isytihar pandemik, kata WHO
Feb 26, 2020 | 05:30 AM

WALAUPUN terletak jauh beribu batu dari China, Iran dan Italy tidak dapat melarikan diri daripada koronavirus yang berasal dari Wuhan yang jelas sudah menular dari Asia ke negara-negara Barat.

Terkini, Italy mencatat kematian ketujuh kelmarin dan kes jangkitan sudah mencapai 229 orang - jumlah yang paling besar di Eropah.

Wilayah terbabit - Lombardy (dua kematian di laporkan pada Isnin) dan Veneto - diletakkan dalam perintah kurungan oleh pemerintah Italy.

Untuk jangka masa dua minggu, lebih 50,000 penduduk di kedua-dua wilayah tersebut perlu mendapat kebenaran jika ada urusan di wilayah lain.

Sehingga kini, belum ada pengesahan bagaimana virus korona baru ini mula menular di Italy.

IRAN, AFGHANISTAN, KUWAIT, BAHRAIN

Di Iran pula Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Encik Harirchi, melaporkan negara itu sejak kelmarin mencatat 12 kematian dan 61 kes jangkitan, majoriti daripada mereka di kota Qom.

Salah satu kematian itu merupakan seorang peniaga yang beberapa kali berulang-alik antara Iran dan China.

Lebih membimbangkan, peniaga terlibat tidak mengambil penerbangan terus menerus dari China untuk pulang ke Iran, sebaliknya menggunakan khidmat penerbangan perantara.

Pada Isnin, Afghanistan, Kuwait dan Bahrain melaporkan kes pertama negara masing-masing - kesemuanya berpunca daripada pembawa virus yang tiba dari Iran.

KOREA SELATAN

Mengarah ke timur, Korea Selatan mencatat jumlah kes Covid-19 paling tinggi di luar China.

Sehingga kelmarin, 456 orang yang dikaitkan dengan kumpulan gereja rahsia dilaporkan dijangkiti virus tersebut.

Sebanyak 231 kes jangkitan baru dilaporkan kelmarin, membawa jumlah penularan setakat ini kepada 893 kes dengan lapan kematian.

Dalam kalangan anggota tentera Korea Selatan, seramai 7,700 anggota dikenakan perintah kuarantin dengan 11 kes disahkan menghidap Covid-19.

Lebih membimbangkan, kumpulan penularan terbesar berlaku di kota Daegu melibatkan pengikut gereja dan sebuah hospital di Seoul.

Dalam kedua-dua kes, identiti pesakit pemula masih belum ditemui yang perlu bagi membantu pihak kesihatan mengesan jejak penularan.

Agensi berita Reuters semalam melaporkan seorang kru kabin Korean Air telah disahkan positif koronavirus oleh syarikat penerbangan tersebut, justeru mendorong pihak pengurusan untuk menutup pejabatnya d Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, lokasi bagi anggota kru penerbangan itu.

ITALY

Italy mencatatkan tujuh kematian akibat koronavirus Covid-19, menjadikannya negara yang paling teruk terjejas susulan penularan wabak itu di Eropah.

Polis telah mengawal pusat pemeriksaan di sekitar bandar-bandar yang dikuarantin di utara Italy pada Isnin.

Ia susulan tindakan pihak berkuasa mengawal penyebaran wabak koronavirus yang menjadikan negara tersebut sebagai titik tumpuan wabak di Eropah.

Pegawai kesihatan Italy kelmarin berkata terdapat 229 kes jangkitan di seluruh negara berkenaan dan tujuh kematian dicatatkan.

Terdapat 101 pesakit di hospital manakala 27 lagi ditempatkan di unit rawatan rapi.

Wilayah Lombardy yang paling teruk terjejas melaporkan 172 kes dengan lima kematian.

Sejak peningkatan jumlah kes di Italy bursa saham negara itu mencatatkan kerugian besar iaitu jatuh lebih 4 peratus pada satu masa.

Pada Sabtu lalu Italy merupakan negara pertama di Eropah yang mengkuarantinkan warga negaranya, dengan lebih 50,000 penduduk di 11 bandar yang menghadapi lockdown.

Pemerintah Italy juga telah memperkenalkan beberapa langkah pembendungan dan menghentikan semua acara dan perhimpunan selain menutup sekolah, tadika, muzium serta pejabat awam lain.

AMERIKA SYARIKAT

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC) kelmarin berkata terdapat 14 kes koronavirus disahkan di negara itu, selain 39 kes melibatkan mereka yang dipindahkan dari kapal pelayaran Diamond Princess dan bandar Wuhan di China.

Ini membawa jumlah kes disahkan kepada 53.

Agensi itu berkata 14 kes yang disahkan termasuk dua kes baru yang dilaporkan dari Humboldt County dan Sacramento County.

CHINA

Angka korban akibat Covid-19 meningkat kepada 2,592 di China, dengan jumlah kes berdaftar sebanyak 77,150, berdasarkan laporan Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Jumlah sehingga kelmarin menunjukkan seramai 24,734 pesakit pulih.

Daripada 49,824 yang sedang dirawat, 9,915 berada dalam keadaan kritikal, lapor agensi berita Sputnik.

PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA (WHO)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin berkata, wabak koronavirus masih boleh ditangani dan masih terlalu awal untuk mengisytiharkannya sebagai pandemik walaupun ia berpotensi untuk mencapai tahap itu.

"Mesej utama yang harus diberikan kepada semua negara adalah kita masih mempunyai harapan, keberanian dan keyakinan bahawa virus ini dapat dikawal, bahkan sememangnya terdapat banyak negara yang berjaya menanganinya dengan baik," kata Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, di sidang akhbar di Geneva.

"Menggunakan istilah 'pandemik' tidak sesuai secara fakta tetapi ia timbul mungkin disebabkan ketakutan," katanya sambil menambah jumlah kes yang terus meningkat di pasaran antarabangsa adalah lebih rendah. - Agensi berita.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian